lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyakit kusta boleh merebak melalui titisan pernafasan (droplet) daripada individu yang dijangkiti, terutamanya melalui batuk atau bersin.
Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal dan Profesor Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, penyakit kusta terjadi akibat jangkitan bakteria mycobacterium leprae.
Menurutnya, bakteria terbabit menyebabkan kerosakan saraf serta lesi kulit yang progresif.
“Kerosakan saraf menyebabkan kehilangan deria rasa, terutama pada tangan dan kaki.
“Ia juga boleh menyebabkan lumpuh otot, lalu mengakibatkan kelemahan atau kecacatan kekal.
“Malah, penyakit kusta boleh menyebabkan deformasi fizikal contohnya, jari atau hidung menjadi cacat akibat kerosakan tisu,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.
Dr Zamberi yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM berkata, walaupun kes kusta berkurangan di banyak negara, penyakit ini masih wujud dan boleh muncul semula kerana beberapa faktor termasuk jangkitan ini mempunyai tempoh inkubasi panjang.
“Kusta boleh mengambil masa bertahun-tahun antara lima sehingga 20 tahun untuk gejala muncul, menyebabkan kes baharu dikesan selepas jangka masa yang lama.
“Selain itu, penyakit ini juga boleh terjadi di kawasan endemik yang mana jika terdapat individu yang masih dijangkiti tetapi tidak dirawat, mereka boleh menyebarkan penyakit secara senyap.
“Malah, akses yang terhad kepada rawatan kesihatan di kawasan luar bandar boleh menyebabkan kes tidak dikesan lebih awal,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia Isnin lalu, selepas seminggu demam akibat dijangkiti kusta, manakala lapan individu lagi sedang menerima rawatan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengesan penularan jangkitan itu pada 2 Januari membabitkan lima penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan bakinya dari KOA Guntur.
Susulan itu, Jabatan Kesihatan melaksanakan kuarantin di kampung berkenaan termasuk menutup pusat reakreasi Jeram Tengkek bagi mengelakkan penularan jangkitan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dipetik berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) masih menyiasat punca jangkitan wabak kusta di dua KOA itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd