bhnews@bh.com.my
MELAKA: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) menggondol masing-masing dua anugerah emas dan perak, selain satu gangsa sempena Anugerah Media Melaka 2021 malam tadi.
Anugerah Emas diperoleh menerusi wartawan Nazri Abu Bakar melalui kategori Rencana Cemerlang bertajuk ‘Rumahku Muzium RM2 juta’ serta jurufoto Iqmal Hakim Rosman melalui kategori Foto Cemerlang ‘Musim Bunga Keladi Macam dekat Oversea’ yang disiarkan Harian Metro.
Kemenangan itu membolehkan masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.
Anugerah Perak Rencana Cemerlang diterima wartawan BERNAMA, Shanika Abdullatib (Hilang Udang Geragau Lenyaplah Belacan Melaka), manakala Anugerah Gangsa diperoleh wartawan Astro Awani NurShuhadah Kadir (Deepavali: Hidupkan Warisan Masyarakat Chetti, Elak Kepupusan).
Kumpulan Media Prima turut cemerlang apabila merangkul Anugerah Perak melalui jurugambar TV3, Baharudin Mohamed (TV3) dan jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Ahmad Shahrin Syafeeq Ahmad Zamzuri.
Masing-masing membawa pulang RM1,500, trofi dan sijil.
Anugerah Gangsa pula dimenangi Mahdi Abd Manaf (TV3) melalui Laporan TV Cemerlang (Keris Pusaka Melayu Melaka), sekali gus meraih RM750 berserta trofi dan sijil.
Media Prima turut menerima Anugerah Khas Ketua Menteri melalui Timbalan Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Azhari Muhidin, Beliau membawa pulang RM1,000 trofi dan sijil.
Lapan anugerah dipertandingkan secara keseluruhan iaitu Anugerah Berita Cemerlang, Anugerah Laporan TV Cemerlang, Anugerah Kandungan Radio Cemerlang, Anugerah Rencana Cemerlang, Anugerah Foto Cemerlang, Anugerah Personaliti Media, Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka dan Anugerah Emas Ketua Menteri Melaka.
Anugerah Emas Ketua Menteri Melaka menjadi milik media rasmi kerajaan negeri iaitu Melaka Hari Ini sebagai penghargaan menerusi laporan berita dan dasar kerajaan negeri kepada rakyat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali, berkata beliau amat menghargai peranan media yang banyak berjasa kepada pembangunan negeri, selain gembira dapat meraikan petugas dan pengamal media daripada pelbagai agensi di Melaka.
“Peranan media massa di negara ini khususnya kepada pentadbiran kerajaan negeri Melaka memang cukup penting, malah saling memerlukan dan melengkapi satu sama lain sebagai rakan strategik yang penting.
“Justeru, hubungan antara media massa dan pentadbiran kerajaan negeri perlu sentiasa dipertingkat dan diperkasakan dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd