sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Permainan e-sukan, PUBG Mobile terus mengorak langkah bagi menarik lebih ramai peminat sukan berkenaan dengan bekerjasama bersama artis retro Malaysia, Kugiran Masdo.
Pengurus Produk (Malaysia) PUBG Mobile, Adil Hisham berkata, kolaborasi itu mampu menghasilkan sentuhan magis terutama dalam mengembalikan pengalaman lalu melalui lagu dihasilkan kumpulan berkenaan.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Masdo dan Warner Music Malaysia untuk membawakan pengalaman imbauan masa lalu yang unik ini kepada mereka yang bermain permainan ini.
“Malah ia boleh menaikkan semangat dan nostalgia PUBG Mobile versi 3.7 yang menawarkan bunyi retro masa lalu dengan permainan menggembirakan di medan pertempuran,” katanya.
Lagu sulung dihasilkan Masdo bertajuk ‘Bertemu Kembali’ itu dilancarkan pada 14 Mac lalu ketika grand final PUBG Mobile Super League SEA (PMSL SEA) Musim Bunga 2025.
Lagu tema itu mendapat lebih sejuta tontonan daripada pelbagai platform media sosial dan disebabkan itu, Masdo bersedia untuk menghasilkan lagu kedua untuk e-sukan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd