Kuda paling tinggi di dunia dilaporkan mati – Utusan Digital

Kuda paling tinggi di dunia dilaporkan mati – Utusan Digital

POYNETTE, Wisconsin: Kuda paling tinggi di dunia dilaporkan mati di sini sejak dua minggu lalu.

Kuda berusia 20 tahun yang dinamakan Big Jake itu tinggal di Ladang Smokey di sini dan isteri kepada pemilik ladang berkenaan, Valicia Gilbert mengesahkan kematian haiwan tersebut.

Namun, dia enggan memberi tarikh sebenar bila kuda itu mati.

“Kami tidak mahu dedahkan tarikh bila Big Jake mati kerana hal itu amat menyedihkan kami sekeluarga,” katanya.

Big Jake mempunyai ketinggian hampir 2.1 meter seberat 1,136 kilogram.

Rekod Dunia Guinness mengiktiraf haiwan itu sebagai kuda paling tinggi di dunia pada 2010.

Pemilik Ladang Smokey, Jake Gilbert memberitahu, Big Jake merupakan bintang dan haiwan yang amat hebat sepanjang hayatnya.

Katanya, kuda itu dilahirkan di Nebraska dengan berat 109 kilogram.

“Saya bercadang untuk mengenang Big Jake dengan membiarkan kandangnya kosong dan meletakkan gambar serta nama di luar.

“Keadaan di ladang ketika ini sangat sunyi, seolah-olah keuda lain juga meratapi pemergian Big Jake,” ujarnya. – AP

Scroll to Top