RICHMOND: Sebuah pusat perlindungan haiwan terbiar di Virginia, Amerika Syarikat (AS) sedang mencari `keluarga angkat’ yang berminat untuk membela seekor kucing yang dikatakan terbesar pernah ditemukan.
Lapor portal UPI, kucing bersaiz besar yang berbulu lebat dengan beratnya mencecah sebanyak 18.27 kilogram (kg) dikenali sebagai Patches.
Menurut Pusat Perlindungan Haiwan Richmond, Patches kini diletakkan dibawah pelan diet dan senaman khas bagi membantu si bulus itu menurunkan berat badan dan berada dalam keadaan sihat.
“Sekiranya anda bercadang untuk membela kucing terbesar yang pernah dilihat oleh sesiapa ?
“Jika ya, kami mempunyai kucing seperti itu untuk anda,” kata RACC dalam catatan di Facebook.
Tambah RACC, Patches kini sedang mencari pemilik baharu yang sanggup membantunya untuk meneruskan pelan penurunan berat badan.
Beberapa doktor haiwan menyatakan rata-rata kucing peliharaan biasanya mempunyai berat badan sekitar 4.53kg walaupun jumlah itu boleh berubah mengikut jenis baka.
Sebelum ini, seekor kucing bernama Himmy dari Australia mencipta Rekod Dunia Guinness dengan meraih gelaran si bulus paling berat.
Himmy dilaporkan memiliki berat badan sebanyak 21.29kg sebelum mati pada usia 10 tahun empat bulan pada tahun 1986.
Sejak itu, agensi penyimpanan rekod menamatkan kategori tersebut bagi menghalang pemilik kucing memberi makanan berlebihan kepada haiwan peliharaan mereka.