Kubur besar 300 orang ditemukan di Manchester

Kubur besar 300 orang ditemukan di Manchester

London: Sebuah kubur besar yang mengandungi lebih 300 rangka manusia ditemukan di Tanah Perkuburan Royton, Oldham, di bandar Manchester, baru-baru ini.

Portal Independent melaporkan majoriti rangka manusia itu adalah bayi pramatang atau mati ketika proses kelahiran, dan kanak-kanak.

Ahli majlis tempatan, Maggie Hurley berkata, rangka manusia itu ditemukan oleh seorang wanita yang mencari kubur dua beradik lelakinya.

Dua beradik itu yang juga pasangan kembar, meninggal dunia pada 1962. Seorang daripada mereka mati kelahiran, manakala seorang lagi mati lima jam selepas itu.

Menurut Hurley, wanita itu diberitahu untuk berjumpa dengan seorang penjaga di kawasan perkuburan, yang membawa lejar mengandungi nama si mati.

Wanita itu kemudian menemukan empat lagi kubur besar dengan ratusan lagi rangka kanak-kanak.

Ia meninggalkan persoalan berapa ramai bayi lain yang tidak dinamakan dikebumikan di kubur tanpa tanda di seluruh United Kingdom.

Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa mendapati kubur besar itu mengandungi 303 rangka manusia terdiri daripada 146 bayi yang mati ketika kelahiran, 128 bayi dan kanak-kanak kecil, dan 29 dewasa.

Sementara itu, BBC melaporkan sebelum 1980-an, bayi yang meninggal dunia ketika kelahiran diambil daripada keluarga.

Mereka tidak diberi sebarang butiran mengenai apa yang berlaku kepada bayi itu atau lokasi anak itu dikebumikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd