Kuala Kedah dinaiki air akibat fenomena air pasang

Kuala Kedah dinaiki air akibat fenomena air pasang

am@hmetro.com.my

Kuala Kedah: Lebih 100 rumah di Taman Seri Putra, di sini, terjejas selepas dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar, awal pagi tadi.

Tinjauan di lokasi perumahan itu mendapati, penduduk melakukan persediaan lebih awal untuk mengangkat barangan, termasuk motosikal yang diletakkan di hadapan rumah.

Selain itu, Pekan Kuala Kedah, Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Seri Putra dan Taman Seri Pantai dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter bermula 12 tengah malam tadi.

Bagaimanapun, air surut sepenuhnya dua jam kemudian.

Penduduk, Mariati Mansor, 52, berkata, air laut masuk dengan cepat ke dalam rumahnya disebabkan hujan pada 12 tengah malam tadi.

Katanya, dia bernasib baik kerana sudah melakukan persediaan berikutan hebahan yang dibuat pihak berkuasa berkaitan fenomena air pasang yang diramalkan berlaku pada 18 hingga 20 Oktober.

“Rumah kami memang selalu masuk air kalau setiap kali air pasang berlaku tetapi kali ini agak teruk sikit kerana disertai selut.

“Saya dah awal-awal lagi letak bata bawah peti ais dan mesin basuh supaya tinggi dan tidak tenggelam,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Penduduk lain, Mohd Saiful Shahrulnizam, 24, berkata, dia sempat mengangkat tikar getah selain menyelamatkan motosikal ke tempat lebih selamat, sebelum air pasang itu berlaku 12 tengah malam.

Katanya, dia yang juga nelayan tidak dapat turun ke laut sejak beberapa hari lalu kerana bimbang dengan fenomena air pasang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top