am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Kumpulan KRU menjanjikan kelainan dan elemen kejutan buat peminat pada Konsert GenKru yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 dan 4 Mei depan.
Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim ketika dihubungi berkata, dia bersama Datuk Yusry dan Edry juga akan menggunakan kepakaran mereka dalam pelbagai teknologi untuk menampilkan suatu persembahan yang boleh meninggalkan memori sepanjang zaman.
“Konsert GenKru ini adalah yang terbesar kami pernah adakan terutamanya dari segi nilai produksinya. Susunan muzik juga akan beri impak yang besar pada konsert GenKru.
“Sudah pasti ada elemen kejutan dan kami juga akan buat sesuatu atau gimik yang belum pernah kami lakukan dalam konsert sebelum ini.
“Kami harap peminat akan hargai kelainan dan pembaharuan yang akan kami bawakan dalam konsert ini nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas persiapan konsert pula, kata Norman, ia masih pada peringkat awal lagi.
Katanya, mereka dalam proses mengenal pasti pilihan lagu-lagu yang ingin dipersembahkan dalam konsert nanti.
“Walaupun kami tahu lagu-lagu wajib dan lagu popular memang dalam senarai seperti Fanatik, Terhangat Di Pasaran, Awas! dan Mengerti itu antara lagu yang wajib dipersembahkan.
“Ia termasuk lagu baru seperti Voodoo dan juga single baharu yang akan kami keluarkan pada bulan hadapan. Pada masa sama, kami juga mahu melihat reaksi dari peminat lagu yang mereka mahukan.
“Jadi susunan muzik dan elemen akan kita tetapkan hanya selepas selesai proses pemilihan lagu-lagu yang kita ingin masukkan dalam senarai persembahan,” katanya.
Ditanya dari aspek stamina pula, kata Norman, dia juga sudah mula mengamalkan diet dan membuat senaman sebagai persediaan.
“Begitu juga Edry. Yusry pula beritahu akan mula buat persediaan dari segi stamina pada Januari depan.
“Persediaan dari segi stamina sangat penting untuk pastikan kami mampu buat persembahan melebihi dua jam setengah untuk dua malam konsert berkenaan.
“Kami yakin boleh mencapai stamina tersebut dan tumpuan akan lebih diberikan kepada macam mana persembahan itu memberikan sesuatu yang lain dari yang pernah kami bawakan sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, penganjur konsert GenKru, Icon Entertainment berkongsi sambutan luar biasa jualan tiket hari pertama habis dijual dalam tempoh kurang sejam manakala tiket tambahan hari kedua pada 4 Mei turut habis dijual dalam tempoh 45 minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd