KPT tambah insentif atlet cemerlang di AUG

KPT tambah insentif atlet cemerlang di AUG

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pertambahan insentif kepada atlet-atlet institusi pendidikan tinggi (IPT) yang mempamerkan pencapaian cemerlang melepasi sasaran 35 pingat emas.

Menteri KPT, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pemenang-pemenang yang berjaya merangkul pingat emas diberi insentif sebanyak RM3,000, perak RM2,000 dan gangsa RM1,500.

“KPT merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen negara melibatkan atlet-atlet IPT yang mempamerkan pencapaian cemerlang melepasi sasaran 35 pingat emas.

“Pastinya, pencapaian membanggakan ini adalah hasil usaha gigih kontinjen negara yang terdiri daripada 263 atlet dan 119 pegawai dengan 18 acara disertai kontinjen negara yang berentap bersama 11 buah negara ASEAN lain.

“Pencapaian itu membolehkan atlet-atlet IPT menduduki tempat ketiga negara terbaik pada kejohanan Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang berlangsung pada 25 Jun hingga 6 Julai lalu,” kata KPT dalam satu kenyataan di sini.

Secara keseluruhan, kontinjen negara berjaya meraih 38 pingat emas, 45 pingat perak dan 60 pingat gangsa sepanjang 11 hari berlangsungnya pertarungan di Surabaya dan Malang, Indonesia.

KPT komited untuk menjayakan AUG siri ke-22 dengan Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah penganjuran pada 2026.

Penganjuran sukan ini diyakini dapat terus melahirkan bakat terbaik sukan negara sekaligus melakar nama negara di persada antarabangsa.

“KPT turut komited bersama agensi serta badan sukan lain dalam usaha membangunkan bakat sukan yang berprestasi tinggi dan mampu bersaing secara kompetitif
di arena antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette