PANAMA CITY – Pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya muncul Juara Keseluruhan Pertandingan Antarabangsa World Robot Olympiad (WRO) 2023 yang telah diadakan di Panama City, Panama pada 7 hingga 9 November 2023.
Kejayaan ini merupakan kejuaraan kali ke 11 daripada 19 kali penyertaan
Malaysia dalam WRO.
Ia diperolehi apabila pasukan negara berjaya meraih 4 pingat emas dan 2 pingat perak daripada keseluruhan 7 kategori yang dipertandingkan.
Pasukan Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin diwakili oleh 49 peserta dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah serta pelajar Institut Pendidikan Guru
(IPG).
Malaysia turut menghantar pegawai KPM yang bertugas sebagai pengadil kejohanan dalam pertandingan yang disertai oleh 1,200 peserta dari 80 buah negara.
Menurut Shafruddin, beliau sangat berbangga dengan pencapaian pasukan negara dalam pertandingan ini.
Ia adalah merupakan pencapaian terbaik Malaysia sepanjang penyertaan dalam WRO.
Kerjasama berpasukan yang baik, komitmen dan sokongan semua pihak termasuk daripada Sasbadi Holdings Berhad yang merupakan rakan strategik KPM adalah ramuan penting pasukan negara untuk mengatasi saingan sengit daripada pasukan lain.
Tambah Shafruddin, KPM sentiasa berusaha meningkatkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk menerusi program robotik yang menarik dan menghiburkan. – MalaysiaGazette