KPKT jangka kuat kuasa perintah khidmat masyarakat tahun ini

KPKT jangka kuat kuasa perintah khidmat masyarakat tahun ini

Ipoh: Pelaksanaan perintah khidmat masyarakat hingga 12 jam bagi kesalahan pembuangan sampah kecil dijangka berkuat kuasa pada tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata, sesi libat urus dan penerangan kepada pihak berkaitan sudah dilakukan beberapa kali dalam memastikan perintah khidmat masyarakat itu dapat direalisasikan.

“Ia (perintah itu) dijangka tahun ini. Dah banyak kali saya buat libat urus dan kita dah banyak kali berikan penerangan.

“Undang-undang ini akan dikuatkuasakan tahun ini. Jangan lupa 2026, Tahun Melawat Malaysia dan kita menjangkakan kehadiran 35 juta pengunjung, kita mahu pelancong untuk mempunyai tanggapan yang baik (terhadap negara),” katanya selepas merasmikan Taman Rekreasi MADANI Woodlands II Bandar Baru Tambun, di sini, hari ini.

Pada 19 Februari lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan cadangan melaksanakan perintah khidmat masyarakat, membabitkan pindaan terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Kementerian itu memaklumkan pelaksanaan perintah khidmat masyarakat bertujuan meningkatkan kesedaran serta mendidik masyarakat supaya peka terhadap kebersihan dan tidak membuang sampah kecil di kawasan awam sewenang-wenangnya.

Sementara itu, Nga berkata, beliau dijangka membentangkan pindaan akta berkenaan pada 6 Mac ini iaitu dalam sesi Sidang Dewan Rakyat kali ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Perak tahun ini bagi pembinaan sekurang-kurangnya 20 Taman Rekreasi MADANI di negeri ini.

“Sekarang dasar kita satu tahun 100 taman, jadi saya komited untuk siapkan 1,000 taman dalam masa 10 tahun. Tahun lepas kita lebih daripada sasaran, kami capai 109 di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Landskap Negara, tahun ini sasaran kita 100 (taman) lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top