KPDN terima 14 aduan jual minyak masak peket dalam talian

KPDN terima 14 aduan jual minyak masak peket dalam talian
KPDN terima 14 aduan jual minyak masak peket dalam talian

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 14 aduan berhubung berkaitan penipuan penjualan minyak masak peket secara dalam talian bagi tempoh 4 Julai 2022 hingga 30 Jun lalu.

Pengarah Penguat kuasanya, Datuk Azman Adam berkata, sebanyak 71 pemeriksaan fizikal dilakukan pihaknya di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak lima tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi menyiasat pihak terbabit yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian dengan rampasan berjumlah RM1,796.

“Antara kesalahan dilakukan adalah urus niaga barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen sah, menyimpan minyak masak di tempat tidak dilesenkan serta gagal menyelenggara buku stok barang kawalan,” katanya.

Azman berkata, pihaknya masih giat melakukan pemantauan ke atas aktiviti penipuan penjualan minyak masak peket secara dalam talian dilakukan melalui laman media sosial dan tapak pasar dalam talian.

Katanya, ia bertujuan memperdaya mangsa untuk mendapatkan bekalan dengan menawarkan harga lebih murah.

“Modus operandi aktiviti penipuan penjualan minyak masak adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“Di samping itu, sindiket berkenaan juga dipercayai akan mengumpan mangsa dengan pengiklanan mengelirukan di laman media sosial dan tapak pasar dalam talian memandangkan minyak masak paket mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pihak KPDN bekerjasama dengan pengendali tapak pasar secara dalam talian di negara ini bagi memastikan aktiviti penipuan serta penyelewengan itu dapat diatasi dengan lebih berkesan.

“Hasilnya, sebanyak 225 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian berjaya dinyahturun bagi tempoh sama,” katanya.

Beliau turut memberikan amaran keras kepada semua pihak berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak supaya undang-undang.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak didapati terbabit dengan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk yang dijual secara dalam talian.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

“Selain itu, syarikat juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613],” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd