KPDN sita 63 tong LPG di Tanjung Malim

KPDN sita 63 tong LPG di Tanjung Malim

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, menyita 63 tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama yang disimpan di sebuah stor tanpa lesen di Tanjung Malim, pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesemua tong disita KPDN Cawangan Tapah melalui pemeriksaan berkaitan barang kawalan LPG kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas premis berkenaan mendapati ia merupakan stor simpanan barang-barang jualan runcit dan sebanyak 63 tong LPG telah dijumpai.

“Hasil semakan awal mendapati stor berkenaan tidak memiliki sebarang lesen atau permit menyimpan Barang Kawalan (CSA) dan seorang lelaki tempatan berumur 50an disyaki pemilik perniagaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah di ambil ke atas pemilik premis berkenaan dengan tindakan sitaan sebanyak 63 tong LPG pelbagai berjenama dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,139.60,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, siasatan lanjut juga akan dilaksanakan ke atas syarikat pemborong barang kawalan LPG ini kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan.

Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.

Katanya, jika disabitkan boleh dikenakan tindakan bagi perseorangan atau individu dengan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – MalaysiaGazette