KPDN serbu stor disyaki seleweng diesel, tahan lelaki Thailand

KPDN serbu stor disyaki seleweng diesel, tahan lelaki Thailand

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Sebuah stor terpencil tanpa nombor di Changlun di daerah Kubang Pasu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah kerana disyaki menyeleweng minyak diesel, semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, operasi jam 10 pagi itu hasil kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. Beliau berkata, stor itu dipercayai dijadikan tempat menyimpan barang kawalan sebelum dijual kepada kenderaan pendaftaran asing.

“Ketika serbuan dilakukan, sebuah pikap bernombor pendaftaran asing sedang mengisi diesel.

“Pemeriksaan awal terhadap kenderaan itu mendapati tangki diubahsuai selain terdapat beberapa peralatan lain di stor seperti tong drum, motor pam berserta hos paip.

“Jumlah keseluruhan barang kawalan yang disyaki diesel dianggarkan hampir 900 liter itu dianggarkan bernilai RM3,000 manakala kenderaan dan peralatan lain dianggarkan RM30,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Nizam berkata, seorang lelaki tempatan berusia 60-an yang disyaki pemilik stor ditahan dan dibebaskan selepas selesai rakaman percakapan dilakukan.

Beliau berkata, seorang lelaki Thailand berusia 30-an yang juga pemilik kenderaan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Muhammad Nizam berkata, sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya melalui Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 serta E-mel e-aduan@kpdn.gov.my.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan melalui aplikasi EZ ADU KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 serta WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 dan Pejabat KPDN Kedah 04-7001745.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top