KPDN Kelantan tahan lelaki cuba seludup keluar minyak masak, gula

KPDN Kelantan tahan lelaki cuba seludup keluar minyak masak, gula

Kota Bharu: Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan selepas disyaki cuba menyeludup keluar 374 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM935 dan 264kg gula pasir kasar bernilai RM910.80 hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, tangkapan dilakukan dalam Operasi Bersepadu KPDN dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di Kampung Pasir Puteh, Cabang Empat, Tumpat pada 7.30 pagi ini.

“Ketika operasi itu, seorang lelaki yang dilihat mencurigakan telah ditahan di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Perodua Kancil diletakkan berdekatan menemukan barangan bersubsidi berkenaan yang disyaki mahu diseludup ke Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan sebanyak RM6,845.80 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd