Kos proses getah SMR 20 tinggi berbanding kelapa sawit

Kos proses getah SMR 20 tinggi berbanding kelapa sawit

KUANTAN: Kementerian Perladangan dan Komoditi digesa mengkaji semula kos pemprosesan getah fizikal bagi gred SMR 20 (Standard Malaysian Rubber) kepada kilang-kilang getah di seluruh negara kerana harganya didakwa terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kos proses komoditi kelapa sawit.

Pada masa ini, kilang pemprosesan getah SMR 20 mengambil maksimum sehingga RM1.10 untuk sekilogram getah sekerap diproses menjadi SMR lima, 10 ataupun 20 mengikut kadar kering getah tersebut daripada harga SMR harian yang dikeluarkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, ini bermaksud, upah proses mencecah hampir RM700 untuk satu tan metrik getah mentah jika mengandungi 70 peratus getah kering.

Beliau berkata, kos tersebut terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kos memproses kelapa sawit iaitu kira-kira RM80 untuk satu tan metrik.

“Jika dibandingkan dengan kelapa sawit, komoditi itu memerlukan kilang besar dengan sumber elektrik, air dan tenaga yang tinggi untuk menghasilkan minyak tetapi bagi pemprosesan getah, ia tidak memerlukan kos yang tinggi untuk kilang dan jauh lebih murah.

“YPNM menggesa LGM serta Kementerian Perladangan dan Komoditi membuat kaji selidik segera tentang kos pemprosesan getah sekerap SMR untuk menjaga kebajikan semua pekebun kecil getah dan dapat harga yang memuaskan,” katanya di sini semalam.

Mohd. Firdaus berkata, YPNM juga mengesa LGM supaya meletakkan pegawai pemerhati di setiap kilang memproses getah SMR 20 di seluruh negara.

Beliau berkata, pada ketika ini, setiap pembelian dan penjualan getah sekerap hanya ditentukan oleh pihak kilang dengan kadar kandungan getah kering yang dihantar ke situ.

“Penjual terpaksa akur dengan apa jua peratusan yang diberikan oleh pihak kilang getah dan keputusan kilang adalah muktamad mengikut kadar getah kering.

“Untuk mengelakkan penipuan pembelian getah kering, pegawai LGM perlu ada di setiap kilang supaya ada pemantauan pihak terbabit.

“Pihak LGM juga boleh mengambil contoh getah sekerap untuk diuji kandungan getah kering yang dibayar kepada penjual,” katanya.

Menurutnya, YPNM percaya jika kerajaan campur tangan dan mengawal selia perkara itu, ia dapat memastikan peraih dan pekebun kecil getah memperoleh hasil setimpal terhadap getah yang dijual.

Dalam pada itu katanya, yayasan tersebut juga meminta kerajaan memperkenal semula pembuatan getah keping yang mana pekebun kecil dapat memperoleh harga lebih tinggi kerana getah siap proses.

“Jika getah keping, ia hanya tunggu kilang keringkan dan sedia dieskport. Sekiranya pekebun kecil mengusahakan getah keping, ia tidak memerlukan kos tinggi untuk pemprosesan dan upah proses dapat kepada pekebun kecil.

“Menerusi cara ini, tidak perlu ada kilang yang besar dan dapat mengelakkan risiko pencemaran alam sekitar,” tegasnya.-UTUSAN

Scroll to Top