Korban Gaza meningkat kepada 11,320 termasuk 4,650 kanak-kanak

Korban Gaza meningkat kepada 11,320 termasuk 4,650 kanak-kanak

GAZA – Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 11,320 orang, kata pejabat media kerajaan pada hari Selasa.

“Mangsa termasuk 4,650 kanak-kanak dan 3,145 wanita.

Manakala 29,200 lagi cedera,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, 3,600 orang lain masih tidak dapat dikesan, termasuk 1,755 kanak-kanak.

“Seramai 198 pegawai perubatan, 22 anggota pertahanan awam dan 51 wartawan turut terbunuh dalam serangan itu.

“Pencerobohan Israel telah memaksa 25 hospital dan 52 pusat penjagaan kesihatan tidak beroperasi, manakala 55 ambulans menjadi sasaran tentera Israel,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, 40 pesakit meninggal dunia di dalam Hospital Al-Shifa di Kota Gaza dalam tempoh lima hari lalu di tengah-tengah kepungan Israel dan kekurangan bahan api.

“Seramai 82 orang telah dikebumikan di dalam kubur besar di dalam kompleks perubatan kerana askar rejim Zionis masih mengepung hospital sepenuhnya,” tambahnya.

Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.

Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid dan gereja, telah rosak atau musnah dalam serangan Israel. – Agensi