Kor SUAR bakal ditubuh di UMK

Kor SUAR bakal ditubuh di UMK

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) bakal ditubuhkan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi membentuk sahsiah graduan yang patriotik dan antirasuah sebagai pemimpin masa depan.

Kor SUAR yang diperkenalkan pada 2021 adalah inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai usaha pencegahan rasuah di peringkat universiti awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menyokong penuh hasrat UMK untuk mewujudkan kursus itu selain meneruskan kerjasama kedua pihak bagi menjalankan program atau aktiviti lain yang bersesuaian.

Menurutnya, Kor SUAR diwujudkan bagi memperkukuhkan agenda memerangi jenayah rasuah dan menyediakan generasi pelapis kepimpinan negara yang teguh dengan prinsip menolak rasuah dalam budaya kehidupan.

“Penawaran kursus itu melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah peringkat institut pengajian tinggi (IPT) yang mana sebelum ini kita sudah memperkenalkan Kelab Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) serta Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR).

“SPRM sedia memperluaskan Kor SUAR di seluruh universiti awam jika ada permohonan daripada pihak universiti yang berminat untuk menawarkan kursus berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Naib Canselor UMK, Prof Dr Arham Abdullah di pejabatnya di Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Nazli Rasyid Sulong; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Dr Mohammad Ismail dan Pengarah Pusat Kokurikulum UMK Dr Razman Hafifi Redzuan.

Sementara itu, Dr Arham berkata, UMK amat berterima kasih kerana SPRM menyambut baik hasrat pihaknya untuk menawarkan Kor SUAR di universiti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, satu perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan diadakan bersama Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM selepas ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top