hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Konvoi pasukan Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) yang terbabit dalam kejadian letupan di Beirut, Lubnan semalam selamat tiba di Kem Marakah sekitar jam 5.30 petang waktu Lubnan (11.30 malam waktu Malaysia).
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan berkata, semua mereka tiba bersama lima daripada enam anggota yang mengalami kecederaan ringan.
“Salah seorang anggota yang menerima rawatan di Hospital Hamood juga dibenarkan keluar hari ini dan kini berada di Kem Marakah bersama anggota lain. Semua anggota kini selamat berada di kem, “katanya.
Menurut kenyataan itu, rawatan susulan terhadap anggota yang mengalami kecederaan akan diteruskan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850 di Kem Marakah dan akan
meneruskan tugasan seperti biasa apabila pulih sepenuhnya.
“Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) sedang menyiasat kejadian serangan di Lebanese Armed Forces (LAF) Check Point, Stadium Saida yang membabitkan konvoi MALBATT 850-12 berkenaan.
“ATM akan meneruskan rancangan pertukaran terup antara MALBATT 850-11 dan MALBATT 850-12 mengikut jadual yang dirancangkan oleh pihak Unifil, “katanya.
Katanya, perkara itu turut dilaksanakan oleh beberapa negara yang menghantar terup pengaman ke Unifil yang terbabit dalam rancangan pertukaran terup pada bulan ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kumpulan kedua MALBATT 850-12 dijangka akan berlepas pada 10 November 2024 berkekuatan seramai 219 orang.
“Manakala terup MALBATT 850-12 yang masih berada di Malaysia tetap
menjalankan tugas seperti biasa dan sedang melakukan persiapan akhir sebelum diatur gerakkan ke Lubnan, Mereka tetap mempamerkan moral dan semangat juang yang tinggi, “katanya.
Menurutnya, ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) dan terus memantau secara rapi melalui Markas Angkatan Bersama (MKAB) berhubung perkembangan insiden berkenaan.
“Maklumat terkini akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke semasa, “katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd