Kontinjen Olimpik Thailand tukar uniform baharu selepas dikritik

Kontinjen Olimpik Thailand tukar uniform baharu selepas dikritik

BANGKOK- Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand (NOCT) akhirnya menggantikan pakaian yang akan dipakai kontinjen negara itu semasa majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 dengan persalinan baharu.

Naib Presiden NOCT, Thana Chairprasit memberitahu, uniform terbaharu berkenaan direka oleh Grand Sports dan empat lagi pasukan lain yang menampilkan corak Ban Chiang.

Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di Facebook rasmi NOCT hari ini selain turut memuat naik gambar persalinan terbaharu berkenaan.

Perubahan mendadak tersebut dilakukan selepas pakaian asal yang digayakan bintang badminton, Sapsiree Taerattanachai dikritik ramai.

Sebahagian daripada pengkritik memberitahu, pakaian asal Kontinjen Thailand mempunyai persamaan dengan baju yang dipakai pegawai-pegawai pentadbiran Tambon semasa mesyuarat pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Srettha Thavisin mempertahankan pereka pakaian berkenaan dengan mengatakan pengkritik sepatutnya menghormati mereka.-Agensi