Pempengaruh Ryan Bakery lapang dada terima teguran daripada seorang individu berkaitan hasil kandungannya yang menyerupai wanita sejak kebelakangan ini.
Ryan atau nama sebenarnya, Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 29, menzahirkan ucapan terima kasih kepada individu tersebut dan akan lebih berhati-hati dalam mencipta sesuatu kandungan untuk masyarakat pada masa akan datang.
Ryan Bakery lapang dada
Artikel lain: Syifa Melvin bengang, individu samakan wajah anak seperti ‘babi’
“Terima kasih atas teguran, saya akan lebih berhati-hati di masa hadapan, insya-Allah,” katanya yang meninggalkan komen dalam sebuah hantaran di Instagram Oh My Media.
Terdahulu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Hassan meluahkan rasa kurang senang apabila melihat hasil kandungan Ryan Bakery yang melakonkan watak Aisyah.
Bagi Hassan, pempengaruh tersebut tidak sewajarnya melakonkan watak Aisyah yang secara jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Ryan Bakery lapang dada
“Saya mencintai anda kerana Allah. Awak adalah orang yang saya follow rapat-rapat di TikTok kerana content yang dapat mengimbau kenangan kanak-kanak saya bahkan ramai kanak-kanak juga follow awak.
“Namun, untuk beberapa content Aisyah kali ini sangat-sangat saya tak setuju. Menormalisasikan watak wanita sangat dilarang dalam Islam.
“Ini asas dalam Islam yang kita semua kena tahu haram lelaki menyerupai wanita (Al Mukhannath) dan haram bagi wanita menyerupai lelaki (Al Mutarajjilat),” katanya dalam sebuah hantaran di laman Facebook.
Susulan itu, Hassan menasihati Ryan untuk mencari idea atau kandungan yang lebih berkualiti dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam untuk disajikan kepada orang ramai.
Sumber: Facebook @Muhammad Hassan