amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 200 pek bubur lambuk dan 200 pek makanan berbuka puasa diedarkan kepada jemaah Masjid Jamjoom, Ecoland di Davao City, Filipina dalam program gotong-royong anjuran Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City.
Konsul Jeneral Malaysia di Davao City, Deddy Faisal Ahmad Salleh berkata, program gotong-royong itu membabitkan penyertaan aktif pegawai serta kakitangan Konsulat Jeneral Malaysia dan semua ahli perwakilan.
Beliau berkata, inisiatif kebajikan sempena Ramadan itu bertujuan mengeratkan hubungan antara Malaysia dan komuniti setempat.
“Program ini tidak hanya bertujuan menyemarakkan suasana Ramadan tetapi juga memperkukuhkan ikatan persahabatan antara Konsulat Jeneral Malaysia dan masyarakat setempat.
“Ia adalah manifestasi usaha berterusan Konsulat dalam mempererat hubungan dengan komuniti Islam di Davao City. Sekali gus usaha ini turut menekankan nilai-nilai murni menjalani ibadah semasa Ramadan seperti kesederhanaan, keikhlasan dan kepedulian terhadap sesama.
“Program gotong-royong ini mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat Malaysia yang kaya dengan amalan gotong-royong. Ia juga tanda penghargaan kepada masyarakat di Davao City yang sentiasa menyambut baik kehadiran kami di sini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, program mendapat sambutan hangat daripada jemaah di Masjid Jamjoom dengan Mufti Davao, Aleem Muhammad Yusof Pasigan turut meluahkan penghargaan terhadap sumbangan yang diberikan oleh Konsulat Jeneral Malaysia.
“Yang berbahagia mufti menyifatkan program seumpamanya sebagai contoh semangat muhibah berlandaskan konsep Malaysia Madani yang diterapkan pada masa ini.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City berharap supaya program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi terus memperkukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan komuniti setempat di Mindanao,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd