KUALA LUMPUR – Dua kumpulan legenda tanah air, Slam dan Exists, bakal bergabung dalam satu konsert istimewa, Slam X Exists-Our Journey yang akan berlangsung pada 26 Julai 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa,, tetapi sebuah perjalanan nostalgia menghidupkan kejayaan dua legenda muzik Malaysia.
Slam dan Exist mempunyai sejarah yang panjang dalam dunia muzik dan telah menghasilkan karya ikonik, yang terus dikenang dan terpahat di hati peminat.
Menurut pengasas SS Karya Venture, Shah Nizam Abdul Halim, konsert ini bertujuan mengangkat perjalanan muzik kedua-dua kumpulan ini, yang bukan sekadar kumpulan muzik biasa tetapi satu jenama kuat dalam industri hiburan Nusantara.
“Besar harapan kami ‘Slam X Exists-Our Journey’ akan menjadi satu momen buat peminat melihat perjuangan kami, menikmati karya kami dan menghargai bukan hanya satu kumpulan atau seorang pemuzik tetapi juga sentiasa menyokong pemuzik dengan sihat.
“Sebab muzik bukan tentang perjuangan seorang tetapi melalui muzik dengan pelbagai latar belakang tetap bertujuan menyatukan kita semua,” ujar Shah Slam.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan adalah lagu-lagu hit seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, dan Mentari Muncul Lagi daripada Slam, serta Julia, Langkah Seiringan, dan Jesnita daripada Exists.
Selain itu, gandingan vokalis utama, Ezad dan Zamani, di atas satu pentas pastinya menjadi momen istimewa buat para peminat.
Tiket konsert kini boleh didapati menerusi laman web www.ilassoTicket.com/slamexists dengan harga bermula dari RM168 hingga RM3,000 bagi pakej Grand VIP. Tiket kategori PS4 Langkah Seiringan telah habis dijual dalam masa tiga hari, sementara kategori PS3 hampir habis terjual dalam seminggu.