alizashah@nst.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menandakan sebuah jenama kosmetik popular dari China kerana disyaki melanggar undang-undang dalam kempen pemasarannya.
Tindakan itu diambil selepas syarikat terbabit dalam beberapa siri iklan di media sosial, mendakwa produknya boleh dimakan.
KKM memulakan proses untuk mengeluarkan produk syarikat itu dari pasaran.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu New Straits Times, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengeluarkan notis kepada syarikat itu untuk memberikan penjelasan.
Katanya, lesen penjualan produk itu mungkin akan dibatalkan kerana iklan mendakwa larutan pengelupasan kulit berwarna merah seperti darah mengandungi asid yang sepatutnya digunakan pada wajah, boleh dimakan.
Notis kepada syarikat itu dikeluarkan pada 31 Januari.
Dr Dzulkefly berkata, NPRA akan membatalkan notifikasi produk itu jika tidak menerima maklum balas daripada syarikat dalam tempoh 14 hari.
Salah satu iklan yang mencetuskan kontroversi ialah video berdurasi 26 saat yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan seorang bakat tempatan ‘meminum’ larutan itu.
Dalam video itu, satu suara bertanya mengapa wanita itu melakukannya dan dia membalas: “So what?”
Dr Dzulkefly berkata, iklan itu bukan saja mengelirukan, tetapi boleh menjejaskan kesihatan pengguna.
“Hasil semakan lanjut oleh NPRA mendapati produk kosmetik ini diiklankan di Facebook (FB) dengan dakwaan melebihi definisi kosmetik khususnya untuk kegunaan oral atau ditelan.
“Dakwaan ini bercanggah dengan keperluan dalam Garis Panduan Tuntutan Kosmetik dan Garis Panduan Pengiklanan Kosmetik,” katanya.
Semakan di laman web NPRA menunjukkan produk itu mempunyai dua nombor notifikasi yang didaftarkan di bawah dua syarikat berbeza.
Tidak jelas sama ada halaman FB yang menyiarkan iklan berkenaan dimiliki oleh cabang jenama itu di Malaysia.
Semakan juga menemui beberapa halaman FB dengan nama hampir sama, tetapi akaun yang menyiarkan iklan itu adalah lebih aktif, dengan kira-kira 33,000 pengikut.
Selain itu, satu lagi iklan serupa dimuat naik di TikTok pada 27 Januari.
Video berdurasi 25 saat menunjukkan seorang lelaki menelan sesudu krim pelindung matahari jenama itu terus dari pembungkus.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada akaun yang menyiarkan kedua-dua iklan itu adalah daripada akaun rasmi jenama berkenaan.
Namun, semakan menerusi akaun rasmi TikTok jenama itu (yang disahkan dengan tanda biru) mengesahkan kedua-dua hos termasuk individu yang terbabit dalam promosi produk, mempunyai kaitan dengan jenama berkenaan.
Dr Dzulkefly berkata, video iklan berdurasi 25 saat itu juga melanggar undang-undang dan surat cadangan penarikan balik produk pelindung matahari akan dihantar kepada pemegang notifikasi.
Setakat laporan ini dibuat, iklan itu masih belum diturunkan.
Dr Dzulkefly berkata, produk kosmetik dikawal di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dan mana-mana syarikat yang ingin memasarkan produk kosmetik di Malaysia mesti mematuhi Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik.
NST juga menemui satu lagi iklan berbentuk artikel berita dengan tajuk sensasi yang bertanya sama ada seseorang boleh mencantikkan kulit mereka dengan ‘meminum darah’.
Iklan berkenaan memaparkan imej seorang wanita yang sedang meminum larutan kosmetik itu.
Ia menerima kecaman daripada pengguna media sosial, yang melabelkannya sebagai ‘murahan’ dan berpotensi membahayakan kanak-kanak.
Seorang pengguna menulis: “Tolong guna akal apabila menghasilkan iklan. Apa akan terjadi jika kanak-kanak melihat ini? Kenapa perlu buat iklan sampah semata-mata untuk menjual produk?”
Beberapa pengguna juga mengancam memboikot jenama itu kerana iklan yang tidak sesuai.
“Iklan dari jenama ini semakin lama semakin mengarut, bye, batal jenama ini,” tulis seorang pengguna.
Ada juga yang menandakan akaun FB KKM dalam ruangan komen.
“Ini iklan bodoh. Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan, tolong pantau iklan berbahaya seperti ini.
“Public Health Malaysia, sila beri nasihat kepada mereka,” tulis seorang pengguna lain.
NST cuba menghubungi pejabat syarikat itu tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.
Semakan lanjut pada akaun TikTok rasmi jenama itu turut menemukan satu lagi amalan yang membimbangkan – hos yang mempromosikan produk kosmetik itu memakai kot putih seperti doktor.
Menurut pihak berkuasa, tindakan itu melanggar Garis Panduan Pengiklanan Kosmetik yang melarang sebarang unsur menunjukkan sokongan profesional daripada doktor, doktor gigi atau ahli farmasi.
“Surat amaran akan segera dikeluarkan kepada pemegang notifikasi kosmetik itu, mengarahkan mereka menghentikan iklan ini secepat mungkin.
“Jika tiada maklum balas diterima dalam tempoh yang ditetapkan, NPRA akan meneruskan proses pembatalan notifikasi produk,” kata Dr Dzulkefly.
Beliau berkata, kakitangan kementerian sedang giat memantau iklan kosmetik di semua platform dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi garis panduan.
Menurutnya, pada tahun lalu, NPRA menapis 1,200 iklan kosmetik manakala Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) menyemak 1,952 iklan.
“Saringan dilakukan di semua media cetak, elektronik dan dalam talian.
“Jika BPF mengesyaki sesuatu iklan kosmetik melanggar peraturan, ia akan dirujuk kepada NPRA untuk tindakan lanjut.
“Begitu juga jika membabitkan produk makanan, ia akan dirujuk kepada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd