Konon nak cari ketenangan, Hafiz Suip akui silap buang IG ada 800,000 pengikut!

Konon nak cari ketenangan, Hafiz Suip akui silap buang IG ada 800,000 pengikut!

Penyanyi, Hafiz Suip akui silap dengan tindakannya memadamkan akaun Instagram (IG) miliknya pada tahun lalu, lebih-lebih lagi memiliki jumlah pengikut yang banyak.

Menurut pelatun lagu Awan Nano, tindakannya pada ketika itu didorong dengan rasa marah disebabkan masalah rumah tangga bersama isteri, Nureffy Jasreel Abdullah.

Katanya lagi, pada ketika itu juga sedang hangat mengenai kisah artis yang menyatakan pendirian dan sokongan terhadap Israel.

“Saya membuang akaun IG kerana marahkan keadaan.
Jadi, saya buang kononnya nak cari ketenangan. Tapi, rupanya ia satu kesilapan. Akaun IG saya ada lebih 800,000 pengikut.
“Saya cadang untuk buka akaun IG baharu, tetapi mungkin guna nama syarikat,” katanya.

Hafiz Suip akui silap buang IG

Dalam pada itu, pemilik nama Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, akui lega apabila tidak perlu lagi berselindung mengenai masalah rumah tangga yang dihadapinya kini.

Dedah Hafiz, sebelum ini dia mengelakkan diri keluar daripada Kuching, Sarawak akibat tertekan dengan apa yang berlaku.

“Saya buat keputusan pulang ke Kuching kerana terlalu banyak memori di Kuala Lumpur. Saya banyak dekatkan diri dengan orang tersayang terutama ibu bapa dan adik-beradik.
“Tapi, lama-kelamaan saya fikir, kalau terus di Kuching saya takkan keluar dari kesedihan. Jadi, saya kena keluar semula supaya tak terlarut dalam emosi.
“Pada masa sama, saya juga kena selalu pulang ke Kuala Lumpur untuk jenguk anak-anak. Alhamdulillah, saya masih bebas bertemu mereka,” katanya.

Ibu sumber kekuatan Hafiz Suip

Disoal mengenai sumber kekuatan, Hafiz berkata ibunya adalah insan yang mendorongnya untuk terus berjuang dan akui tidak mampu membayangkan keadaan seandainya figura itu tiada di sisi.

“Ibu sedang dalam bilik bedah membuang kaki kiri akibat kencing manis sempat hubungi dan pujuk saya supaya teruskan bertanding dalam SFMM 39.
“Jika tidak pujukan ibu, saya mungkin tarik diri. Dalam keadaan diri kurang sihat, ibu masih risaukan saya.
“Saya tak boleh bayangkan keadaan ibu kerana dia adalah tempat saya bersandar,” katanya lagi.

Artikel lain: Hafiz Suip dalam proses cerai, dah tak sebumbung dengan isteri

Terdahulu, Hafiz memaklumkan dia dan isteri dalam proses perceraian, sekali gus menjawab teka-teki kemelut rumah tangga pasangan itu.

Ujarnya, mereka masih berstatus suami isteri, namun sudah tidak tinggal sebumbung dan sedang berunding berkenaan hak penjagaan anak-anak disamping memaklumkan dia mahu menyelesaikan perkara itu dengan cara yang baik.

Sekadar info, Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada 14 Mei 2016 dan pasangan itu telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyahd Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.

Sumber: BH Online (Serimah Mohd Sallehuddin)

Scroll to Top