Sejak kehilangan suami pada 1 April lalu, usahawan yang juga pengacara, Kiah Propa meluahkan rasa sebak dan rindunya terhadap arwah menerusi platform TikTok miliknya baru-baru ini.
Menerusi beberapa foto yang dikongsikan, jelas menunjukkan Kiah bersama arwah suami, Mohamad Nazri Ismail sedang duduk bersama di atas katil hospital sambil memakai busana Hari Raya berona ungu lembut.
Bagaimanapun, Kiah atau nama lengkapnya, Siti Rokhaida Abdul Khalil memaklumkan, perkongsian foto tersebut adalah kenangan terakhir antara dia dan suaminya.
“Rindu, saya sangat rindu awak Babah. Inilah gambar kenangan terkahir kita. Lain sangat dah muka awak masa ni. Tapi, saya tahu… hati awak tetap sama.
“Siapa nak dengar cerita saya lepas ni? Siapa nak dengar luahan saya lepas ni? Siapa nak tolong saya buat bisnes dekat Singapura? Siapa nak tolong drive kan saya pergi sana sini? Siapa nak picitkan kepala saya bila sakit? Awak dah tak ada,” kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menitipkan doa agar urusan Kiah dipermudahkan sekaligus memuji sikap jujur dan ikhlasnya dalam menjaga insan tersayang.
Sekadar info, Kiah sebelum ini memaklumkan, dia kembali kembali mendirikan rumah tangga bersama arwah demi menjaganya yang pada ketika itu sedang bertarung melawan penyakit kanser.
Dan, pasangan ini pertama kali mendirikan rumah tangga pada tahun 2011, namun bercerai beberapa tahun kemudian.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang puteri.