Kongres PKR diadakan mulai 23 Mei di Johor Bahru

Kongres PKR diadakan mulai 23 Mei di Johor Bahru

Putrajaya: Kongres Nasional 2025 Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang ditangguhkan sebelum ini, akan diadakan selama tiga hari bermula pada 23 Mei ini di Johor Bahru, Johor.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) petang tadi yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fuziah dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Nasional akan diadakan pada 23 Mei.

“Kongres Nasional 2025 buat kali pertama akan menggunakan konsep proportionate representation untuk perwakilan, seperti yang telah diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Dis tahun lepas. Segala persiapan sedang berjalan lancar dan semua perwakilan yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, Kongres Nasional PKR 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Disember 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru manakala Kongres AMK dan Wanita ditetapkan sehari sebelum itu di lokasi berbeza.

Bagaimanapun, pada 30 November tahun lepas PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 ekoran banjir di beberapa negeri termasuk Johor, ketika itu.

Menurut Fuziah, Kongres Nasional 2025 mengunjurkan kira-kira 10,000 perwakilan akan hadir mengundi secara fizikal dan lebih 20,000 perwakilan akan mengundi secara dalam talian.

“MPP juga telah memutuskan bahawa sebilangan perwakilan yang wajib hadir secara fizikal daripada kalangan ahli jawatankuasa (AJK) cabang-cabang di Sabah dan Sarawak, boleh hadir sebagai perwakilan serta mengundi di pusat undian satelit di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Langkah ini bagi memberi kemudahan kepada perwakilan di Sabah dan Sarawak yang perlu mengundi secara fizikal serta mengikuti perjalanan Kongres Nasional 2025 melalui jarak jauh di Pusat Satelit,” katanya.

Beliau berkata senarai perwakilan AJK Cabang dari Sabah dan Sarawak yang akan mengundi secara fizikal di Kongres Nasional akan diumumkan kemudian.

Fuziah berkata MPP juga telah dimaklumkan berkenaan status keanggotaan calon-calon yang telah bertanding dalam Pemilihan PKR 2025.

Mesyuarat juga katanya, telah membuat keputusan dasar, iaitu seseorang anggota PKR setelah menjadi calon PKR dan kemudian didapati telah menjadi ahli mana-mana parti lain, akan digugurkan keanggotaan mereka serta hilang kelayakan untuk menjadi calon dan terbatal pencalonan mereka.

Beliau berkata pengumuman berkaitan nama-nama terlibat akan dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top