Konflik LCS: Filipina nafi rosakkan terumbu karang

Konflik LCS: Filipina nafi rosakkan terumbu karang

BEIJING: Kapal perang Filipina didakwa merentas secara haram di pulau Nansha di Laut China Selatan hingga merosakkan ekosistem terumbu karang di kawasan itu, lapor Reuters. 

Tuduhan itu didakwa oleh China, ketika kedua-dua negara bertelagah merebut wilayah yang dipertikaikan di lokasi terumbu itu. 

Menerusi laporan komprehensif, Kementerian Sumber Asli China berkata, kapal perang Filipina berlayar dan merentas di sekitar Beting Thomas Kedua berhampiran Kepulauan Nansha.

“Kapal itu kerap berulang alik untuk tempoh masa yang lama menyebabkan kerosakan terhadap kestabilan dan kemampanan ekosistem terumbu karang,” katanya.

Bagaimanapun, jurucakap Pengawal Pantai Filipina dan Tentera Laut Filipina menafikan tuduhan oleh Kerajaan China. 

Kedua-dua negara itu sering bertelagah berhubung Kepulauan Spratly atau dipanggil Kepulauan Nansha oleh China, Beting Thomas Kedua dan Beting Sabina.

Filipina menempatkan askar di atas kapal perang, BRP Sierra Madre, yang sudah usang dan tidak digunakan lagi di Beting Thomas Kedua, yang sengaja diletakkan oleh Manila sebagai pangkalan tenteranya pada 1999 untuk mengukuhkan tuntutan maritimnya.

Laporan itu mencadangkan supaya Filipina mengalihkan kapal perang ‘haram’ itu untuk menghapuskan punca pencemaran dan mengelak daripada ia menyebabkan kemudaratan berterusan dan terkumpul kepada ekosistem terumbu karang.

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan sebagai wilayahnya sendiri, selepas Beijing menolak keputusan 2016 oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap berpangkalan di The Hague, yang memutuskan tuntutan maritimnya yang meluas tidak mempunyai asas undang-undang.

Kedua-dua pihak mendakwa kerosakan terumbu karang berlaku akibat pergerakan kapal dan kapal nelayan yang beroperasi di kawasan terumbu tertentu.

Tahun lalu, Filipina berkata ia sedang meneroka pilihan undang-undang terhadap China, yang menuduhnya memusnahkan terumbu karang dalam zon ekonomi eksklusifnya di Laut China Selatan. 

Scroll to Top