“Putra Heights meletup!!!” Itulah yang meniti di bibir rakyat Malaysia ketika negara sedang sibuk menyambut lebaran tahun ini. Insiden yang berlaku pada 1 April 2025 sekitar jam 8:08 pagi itu berpunca daripada kebocoran saluran paip gas bawah tanah, sekali gus mencetuskan letupan besar disusuli kebakaran berlarutan yang mengambil masa untuk dipadam. Walaupun tragedi ini berlaku di satu lokasi, kesannya menggegarkan seluruh negara. Ia membuka mata bukan sahaja pihak industri dan kerajaan, malah seluruh masyarakat untuk lebih mengambil berat tentang risiko tersembunyi yang mungkin wujud di sebalik keselesaan kawasan kediaman yang kita anggap selamat.
Dalam tempoh negara sedang memproses kejutan ini, sewajarnya kita tidak membiarkan isu ini berlalu pergi begitu sahaja. Sebaliknya, inilah masanya untuk rakyat berganding bahu bagi memastikan persekitaran tempat tinggal masing-masing benar-benar selamat. Sehingga kini, ramai penduduk bandar menganggap tinggal berhampiran stesen minyak sebagai satu kelebihan. Akses yang mudah, kemudahan runcit 24 jam dan lokasi yang lazimnya berada di laluan utama menjadikan kawasan berhampiran stesen minyak pilihan yang strategik, malah sering dianggap nilai tambah kepada hartanah. Namun, tragedi Putra Heights telah mengubah persepsi ini secara drastik. Letupan besar yang berlaku tidak berpunca daripada kelalaian biasa seperti merokok atau menggunakan telefon bimbit di stesen minyak, amaran yang sudah lama dikempenkan kepada masyarakat, tetapi daripada sesuatu yang tidak kelihatan dan sukar dijangka iaitu paip gas yang tertanam di bawah tanah.
Mengambil iktibar daripada bencana ini, kita tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa atau syarikat utiliti untuk menjamin keselamatan kawasan tempat tinggal. Peranan komuniti kini perlu diperkasa dalam usaha mencegah insiden seperti ini daripada berulang. Komuniti perlu tampil lebih proaktif, iaitu bukan sahaja mengambil tahu apa yang wujud di sekitar kawasan kediaman, tetapi turut memantau, melapor dan bertindak apabila melihat sebarang tanda luar biasa.
Persoalannya, apakah yang boleh dilakukan oleh masyarakat biasa untuk berperanan dalam hal yang kelihatan begitu teknikal dan kompleks ini?
Langkah pertama bentuk jawatankuasa keselamatan komuniti yang melibatkan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pemilik infrastruktur. Jawatankuasa ini bertindak sebagai penghubung maklumat, saluran komunikasi dan suara bersama mewakili kebimbangan serta cadangan penduduk. Melalui jawatankuasa ini, pihak berkaitan boleh diminta memberi taklimat berkala berhubung potensi risiko di kawasan berkenaan.
Langkah seterusnya mendapatkan maklumat rasmi kedudukan infrastruktur berisiko seperti saluran paip gas, kabel voltan tinggi atau zon bahaya yang lain. Maklumat ini perlu dikongsi secara meluas kepada penduduk melalui saluran komunikasi sama ada menerusi mesyuarat komuniti, risalah keselamatan atau pertemuan bersama pihak berkuasa. Kefahaman terhadap tanda amaran, simbol keselamatan dan batasan kawasan berisiko perlu dipupuk agar setiap penduduk dapat mengenal pasti isyarat bahaya dengan lebih cekap.
Pemetaan risiko kawasan perumahan juga langkah penting dalam perancangan jangka panjang. Tujuannya untuk mengenal pasti dan menanda lokasi berisiko seperti paip gas bawah tanah, suis elektrik berkuasa tinggi, loji rawatan, stesen minyak serta kawasan yang sukar dilalui ketika kecemasan. Maklumat ini kemudian digunakan untuk merangka pelan tindak balas kecemasan yang jelas dan praktikal. Aktiviti seperti ini bukan sahaja mendidik penduduk mengenai tindakan sewajarnya semasa kecemasan, tetapi juga membina kesepaduan komuniti dalam menghadapi situasi luar jangka.
Proses pemetaan risiko ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk wakil penduduk, pihak berkuasa tempatan, bomba dan syarikat utiliti. Di sinilah peranan institusi akademik boleh dimanfaatkan, khususnya golongan penyelidik dan pelajar yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kejuruteraan dan perancangan bandar dan pelabagai bidang ilmu lain untuk membantu komuniti mengenal pasti potensi risiko melalui kajian lapangan dan cadangan berbentuk ilmiah. Namun, segala perancangan ini tidak akan bermakna sekiranya wujud sikap sambil lewa dalam kalangan penduduk. Kerap kali berlaku situasi yang mana seseorang melihat sesuatu yang mencurigakan seperti bau gas yang luar biasa atau kerja tanah yang dijalankan tanpa papan tanda keselamatan, tetapi memilih untuk mendiamkan diri dengan harapan ‘orang lain akan laporkan’. Sikap sebegini perlu dibuang. Dalam soal keselamatan, setiap saat sangat berharga. Bertindak awal mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda. Setiap individu harus merasa bertanggungjawab, bukan hanya kerana ia kewajipan moral, tetapi kerana mereka adalah yang paling dekat dengan potensi bahaya itu.
Tragedi Putra Heights membuka mata kita bahawa keselamatan bukan tanggungjawab seorang, tetapi tanggungjawab bersama. Tanggungjawab ini bermula dengan satu langkah kecil iaitu keprihatinan yang dibantu oleh komuniti, disokong oleh pihak berkuasa dan diperkukuh oleh sokongan akademia yang bersedia turun padang demi kesejahteraan bersama. Pihak berkuasa lebih menghargai laporan awal yang sahih daripada penyesalan yang hanya muncul setelah segalanya musnah. Oleh itu, jangan takut bertindak, bukan kerana ingin menjadi wira, tetapi kerana kita semua berhak untuk kekal selamat di kediaman yang sepatutnya menjadi ruang perlindungan bagi semua.
Penulis Pensyarah Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti tun Hussein Onn Malaysia
© New Straits Times Press (M) Bhd