am@hmetro.com.my
Muar: Ditembak ketika bersarapan hingga usus terburai antara detik hitam dilalui lima sekeluarga dalam serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, kira-kira 72 tahun lalu.
Allahyarham Ahmad@Mohamad yang berkhidmat sebagai ‘mata-mata’ (MM) kepada pasukan keselamatan ditembak dua kali oleh komunis dalam serangan dinihari ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.
Anak Allahyarham, Zaleha Ahmad, 75, berkata melalui penceritaan arwah ibunya, Mariam Ibrahim, tragedi berdarah itu berlaku ketika dia yang berusia tiga bulan berada di pangkuan arwah bapanya.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 4.30 pagi ketika mereka sekeluarga sedang menikmati sarapan sebelum terdengar bunyi tembakan dari luar.
“Ibu memberitahu bapa menjenguk melalui tingkap sebelum bahunya ditembak. Bapa terjatuh, namun sempat bangun dan beritahu ibu supaya sembunyikan adik-beradik dalam peti besi di balai polis.
“Belum sempat berbuat apa-apa, komunis sudah tercegat depan pintu lalu melepaskan tembakan mengenai perut hingga usus terkeluar. Waktu itu, bapa masih hidup dan ibu bersama empat adik-beradik kami ditarik keluar ke tepi sungai.
“Arwah bapa masih dalam rumah dan ibu terdengar mereka (komunis) mahu membakar berek polis. Jadi arwah ibu merayu sambil mengangkat tangan kepada komunis agar membenarkannya membawa keluar bapa,” katanya.
Ibu kepada empat anak berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong Sempena Sambutan Hari Polis Ke-218 di Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Polis Johor Datuk M Kumar dan Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz.
Menurut Zaleha, mereka sekeluarga berkumpul di tepi perigi manakala ibu bersama abang berusia tiga tahun (ketika itu) berjalan ke berek polis untuk membawa keluar arwah bapanya yang masih hidup.
“Ibu beritahu arwah bapa meninggal dunia dalam bot ketika sedang dibawa ke Hospital Muar dan dikebumikan di Seri Menanti, Muar,” katanya sambil berlinangan air mata.
Katanya, arwah ibunya turut diacukan senapang di leher supaya memujuk anggota polis keluar menyerah diri.
“Ibu dipaksa oleh komunis, namun anggota terbabit enggan menyerah dan komunis kemudian lari ke hutan berhampiran,” katanya.
Seorang lagi waris, Jariah Jidin, 75, berkata arwah bapanya, Jidin Omar ditembak ketika dia dalam kandungan.
“Arwah ibu menceritakan bapa ditembak di perut dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Kami kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata angkara serangan komunis.
“Yang menjadi kenangan kami ialah membesar tanpa ayah, kami anak yatim. Bapa kami sudah meninggal dunia, tapi kami waktu itu menempuh kehidupan yang sukar, menumpang kasih dengan arwah datuk.
“Akibatnya, hidup kami menderita setiap kali tibanya majlis peringatan ini, saya terbayang bagaimana sukarnya kami tempuh perjalanan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd