mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Komposer lagu Diari Hatimu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, iaitu Ferdy Khalid NS, 74, meninggal dunia dikediaman anaknya, di Taman Eco Flora, Johor Bahru, jam 9.45 malam tadi.
Anak sulungnya, Mohd Fauzi berkata, ayahnya yang menghidap kanser prostat menghembuskan nafas terakhir sebaik tiba di rumah adiknya dari hospital.
“Ambulans menghantarnya ke rumah adik dan semasa nak menurunkannya, ayah langsung tidak menunjukkan maklum balas. Kakitangan perubatan ambulans kemudian mengesahkan ayah sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, anak kelimanya, Mohd Faizal berkata, arwah ayahnya sudah lama terlantar di rumah akibat kanser prostat tahap empat.
“Pagi tadi (Sabtu) selepas subuh, keadaan nafas ayah tak stabil. Jadi sekitar jam 9 atau 10 pagi, kami membawanya ke Hospital Sultanah Aminah.
“Ayah ditahan di Zon Merah sehingga Maghrib dan selepas itu doktor unit kecemasan menasihatkan ayah dibawa balik ke rumah sebab tiada rawatan lain boleh dilakukan kerana kanser dah merebak ke semua organ.
“Doktor nasihatkan agar bawa balik rumah supaya adik beradik dan saudara serta sahabat boleh melawat,” katanya memaklumkan mereka mempunyai lapan adik beadik.
Menurutnya lagi, jenazah akan dimandi, dikafankan serta solat jenazah akan diadakan di Surau JP Perdana pagi ini.
“Manakala pengebumian jenazah akan dibuat di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Danga pada jam 10 pagi,” katanya.
Terdahulu Harian Metro pada 10 Januari 2022 melaporkan Khalid atau nama sebenarnya, Jahi Hashim dirawat di hospital akibat kanser prostat dan tulang.
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021, Khalid pernah diserang sakit jantung dan terpaksa dipasang dua ‘spring’ di bahagian jantungnya.
Nama Khalid mula menyerlah apabila lagu Diari Hatimu yang berentak balada dimuatkan dalam album Adiwarna Siti Nurhaliza pada 1998 berjaya menjadi single kedua dan meletup di kalangan pendengar.
Dia juga mempunyai produksi rakaman menerusi label Irama Perindu yang banyak mengendalikan karier artis-artis dari Johor.
Selain aktif dalam perniagaan muzik, Khalid turut membuka kedai urutan kesihatan dan butik pakaian. Bagaimanapun, penularan pandemik Covid-19 turut memberi kesan terhadap perniagaannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd