Kompaun Maestra Broadcast mengikut pindaan Akta 588 – Fahmi

Kompaun Maestra Broadcast mengikut pindaan Akta 588 – Fahmi

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kompaun RM250,000 dikenakan terhadap Maestra Broadcast Network System Sdn Bhd adalah dengan izin Timbalan Pendakwa Raya berpandukan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang berkuat kuasa 11 Feb lalu.

Fahmi menerusi ciapan di laman X berkata, pindaan Akta 588 itu antara lain memperuntukkan denda maksimum RM500,000.

“Bukan Era FM (yang dikompaun), tapi Maestra Broadcast Network Systems (MBNS) Sdn Bhd iaitu pemegang lesen (yang dikeluarkan oleh) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang dikompaun.

“MBNS bukan individu tapi sebuah anak syarikat milik Astro yang punyai keuntungan substantif,” katanya.

Beliau membalas ciapan pengguna akaun laman X dikenali @Solisidtor yang inginkan kepastian mengapa pelawak Harith Iskander dan seorang wanita Cecelia Yap dikompaun RM10,000 gara-gara memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama walhal Era FM dikompaun RM250,000.

Fahmi menjelaskan kompaun RM10,000 dikenakan terhadap Harith dan Cecelia antara lain kerana kesalahan berlaku sebelum pindaan akta pada 11 Feb, iaitu denda maksimum RM50,000 jika disabit kesalahan.

Terdahulu, MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd namun pengendali stesen radio Era FM itu dikenakan kompaun RM250,000.

Kompaun itu dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara, adalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan dan berkuat kuasa mulai 11 Feb 2025) iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

Lesen Era FM tak digantung, Maestra Broadcast dikompaun RM250,000 – MCMC

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top