Pelakon berkaliber, Noorkhiriah, sekali lagi membuktikan dedikasi dan komitmennya terhadap dunia lakonan apabila berkongsi satu sedutan video dirinya menghadiri kelas lakonan bersama aktres tersohor serta jurulatih lakonan berpengalaman, Fatimah Abu Bakar.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Noorkhiriah mendedahkan bahawa dia sedang mengikuti kelas lakonan sebagai persediaan membawakan watak seorang isteri yang bersifat ‘lembam’ dalam sebuah drama arahan pengarah tersohor, Shahrulezad Mohameddin.
Meskipun sudah dikenali sebagai pelakon hebat dengan deretan lakonan berkesan, Noorkhiriah tetap merendah diri dan berusaha memperbaiki kemahirannya.
Dalam kapsyen ringkasnya, dia meluahkan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam perjalanan pembelajarannya itu.
“Terima kasih Allah, terima kasih Abang Ezad dan terima kasih Aunty Fatimah Abu Bakar,” tulisnya dengan penuh rasa syukur.
Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen memuji sikap profesionalisme Noorkhiriah, menyifatkannya sebagai seorang pelakon ‘A-list’ yang tetap rendah hati dan tidak jemu menimba ilmu demi memperbaiki mutu lakonannya.
Malah, ramai turut mengakui bahawa watak yang dibawakannya dalam drama tersebut benar-benar meruntun hati dan memberi kesan mendalam kepada penonton.
@nurshapie_ Jawapannya akan muncul..Teruskan menonton episod demi episod SeribuTahun..9 malam Astro Ria.. Rabu-Khamis📺.. Terima Kasih ALLAH..Tkasih Abang Ezad..Terima Kasih Anty Fatimah Abu Bakar❤️