Komen Nicholas Saputra curi perhatian

Komen Nicholas Saputra curi perhatian

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Shah Alam: Komen pelakon terkenal Indonesia, Nicholas Saputra sebagai juri jemputan pertandingan Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) yang berlangsung di Studio ntv7, Glenmarie di sini malam tadi, meraih pujian peminat. 

Ramai menganggap komen diberikan Nicholas atau lebih mesra dengan panggilan Rangga menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta, terhadap peserta sebagai positif dan membina serta bukan kosong semata-mata. 

Nicholas, 40, yang ditemubual sebelum program bermula melahirkan keterujaan terbabit dalam program ini. 

“Saya berbangga kerana saya tahu ini sebuah acara yang diadakan semula selepas agak lama berehat. Program ini juga akan melahirkan bintang-bintang yang baik dan berpengalaman terutamanya di pentas akhir. 

“Saya tidak memiliki latar belakang seorang penyanyi tapi saya ada latar belakang seorang pemain filem dan penerbit. Pastilah saya menilai persembahan secara keseluruhan. 

“Tentu sahaja saya mencari bakat dan potensi yang baik. Saya rasa keempat-empat mereka mahu terus mengembangkan bakat selepas program ini,” katanya.

Terdahulu, pada Sabtu, Nicholas turut dibawa meninjau latihan akhir keempat-empat peserta finalis CSOIAM. 

“Saya melihat latihan mereka. Saya merasa ini akan menjadi momen-momen yang sulit (sukar) untuk juri buat pilihan kerana semua mempunyai kualiti yang sangat baik. 

“Saya akan berkata yang jujur. Saya rasa keempat-empat peserta mempunyai suara yang unik. Masing-masing mempunyai karakter yang unik. 

“Jadi itu yang membuat juri sukar menilai,” katanya. 

Pentas final CSOIAM malam tadi menyaksikan Marygrace dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM1 juta. 

Tempat kedua dimenangi Kai Deva, ketiga oleh Jimi dan keempat Zazzleen. 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top