Kolo Muani terus bersinar, Motta mahu lebih

Kolo Muani terus bersinar, Motta mahu lebih

Como: Aksi cemerlang Randal Kolo Muani terus memberi inspirasi kepada Juventus selepas dia meledak dua gol ketika membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Como, namun pengendali Thiago Motta enggan pemain itu terlalu selesa dan mahu lebih daripada penyerang Perancis itu.

Kolo Muani, yang dipinjam dari Paris Saint Germain (PSG), kini sudah menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan pertamanya bersama Juventus, termasuk penalti penentuan pada minit ke-89 dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan Bianconeri bergelut mencipta peluang.

Bagaimanapun, Motta tidak mahu terbawa-bawa dengan prestasi semasa pemainnya itu.

“Dia dalam prestasi baik dan menjaringkan gol, tetapi dia sendiri tahu dia boleh melakukan lebih baik,” kata Motta kepada Sky Sport.

“Dia perlu kekal berpijak di bumi nyata dan terus bekerja keras. Seorang penyerang bukan sekadar perlu menjaringkan gol, tetapi ada banyak perkara lain yang perlu dilakukan.

“Dia membantu pasukan seperti pemain lain. Setiap pemain ada peranan dan keunikan masing-masing. Kami akan terus meningkat sebagai satu pasukan.”

Juventus bernasib baik membawa pulang tiga mata dari Como, tetapi Motta tetap berpuas hati dengan bagaimana pasukannya menguruskan perlawanan.

“Bermain menentang Como bukan tugas mudah. Mereka bermain bola sepak yang baik dan memberikan kesukaran kepada lawan,” katanya.

“Kami bermain dengan berhati-hati dan mengikut perancangan untuk memastikan kemenangan. Saya gembira, terutama untuk pemain yang benar-benar layak mendapat kemenangan ini.”

Kolo Muani sebelum ini tersisih daripada perancangan Luis Enrique di PSG, hanya diturunkan dalam dua perlawanan liga sejak awal musim meskipun membuka kempen dengan dua gol dalam tiga aksi pertama.

Kini, penyerang berusia 26 tahun itu menikmati kebangkitan semula di Itali dan tidak boleh mengharapkan permulaan lebih baik bersama Juventus.

“Ia seperti mimpi buat saya. Saya sangat gembira berada di sini dan dengan permulaan ini, saya berbangga menjadi sebahagian daripada Juventus,” kata Kolo Muani.

“Bagi saya, perkara paling penting adalah sentiasa bermain untuk menang. Kami gembira berjaya mendapatkan tiga mata menentang Como, kini fokus beralih ke perlawanan seterusnya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top