Kolej lahirkan legenda bola sepak azam kembalikan kegemilangan

Kolej lahirkan legenda bola sepak azam kembalikan kegemilangan

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: KSAH Viper adalah nama baharu buat skuad bolasepak bawah 13 tahun Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dalam usaha mengembalikan semula kegemilangannya pada masa depan.

Menurut Pengetua KSAH, Shamsulbadri Ishak gelaran baharu yang diberikan itu diyakini mampu menonjolkan semangat baharu buat sekolah yang telah ditubuhkan pada tahun 1908 itu bagi mempamerkan aksi terbaik pelajarnya dalam apa saja kejohanan yang akan diwakili bermula tahun ini.

KSAH Viper bakal memulakan cabaran terdekat dengan menyertai Kejohanan Bola Sepak Bawah 14 tahun Grand Worldwide – MSSK 2025 yang akan bermula hari ini di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.

“Nama gelaran baharu iaitu KSAH Viper yang adalah nama ular berbisa dipilih untuk skuad Bawah 13 tahun ini yang mana ia menonjolkan sifat pergerakan aktif dan keupayaan mematuk dan menyerang mangsa dengan banyak kali. Ini sesuai dengan nama gelaran pasukan ini di atas kemampuan dalam menghasil dan membuat serangan.

“Berdasarkan sifat yang aktif itu, kami berharap semangat pemain juga mampu melonjak lebih tinggi dalam memberi aksi terbaik yang akan diwakili KSAH nanti,” katanya pada majlis penyerahan jersi baharu pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan yang ditaja oleh syarikat Grand Worldwide, hari ini.

KSAH banyak melahirkan pemain Piala Malaysia, Liga Semi Pro, Liga Super Kedah dan skuad kebangsaan yang antaranya bekas jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, Khamal Idris Ali, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Victor Andrag dan lain-lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top