KLIP bernilai RM115 bilion pelengkap industri maritim dunia – Ab Rauf

KLIP bernilai RM115 bilion pelengkap industri maritim dunia – Ab Rauf

ALOR GAJAH – Pembangunan pelabuhan perindustrian, Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM115 bilion di sini akan menjadi pelengkap kepada industri maritim dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, apabila siap menjelang 2027 kelak, pelabuhan itu akan memangkin pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan inovasi teknologi di rantau ini.

Menurutnya, lokasi strategiknya terletak di Selat Melaka sebagai Selat tersibuk dunia yang menjadi laluan lebih 100,000 setiap tahun sekali gus mewujudkan hubungan penting untuk perdagangan antara Asia, Eropah dan Timur Tengah.

“KLIP akan memberikan sokongan kepada industri maritim dunia yang telah pun pesat membangun selain menawarkan pilihan kerana terletak di satu jajaran strategik antara Singapura dan Pulau Pinang.

“Pelaburan untuk memajukan enam buah pulau pelabuhan dengan kos sebanyak RM115 bilion keseluruhannya akan memberi pulangan GDV lebih daripada RM100 bilion apabila sampai tempoh matangnya kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah KLIP di Kuala Linggi di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi KLIP, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Pengerusi Eksekutif KLIP, Tan Sri Dr. Noormustafa Kamal Yahya.

Ab Rauf Yusoh

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, KLIP juga akan mewujudkan antara 6,000 hingga 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran dalam bidang maritim.

“Ini amat bersesuaian dengan kedudukan Kuala Linggi yang mempunyai akademi laut yang boleh membekalkan tenaga kerja kepada industri pelaburan di Selat ini,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Noor Mustafa Kamal berkata, KLIP sebagai hub perindustrian global hijau untuk sumber tenaga, pelabuhan dan perkhidmatan maritim itu juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan lain.

Antaranya adalah pembinaan simpanan tangki, limbungan kapal, industri berat limbungan fabrikasi, kawasan pengendalian kargo, dermaga dan kemudahan gudang.

Noormustafa Kamal Yahya

“Kami bukan sekadar membina pelabuhan tetapi juga sedang membina simbol kemajuan, kerjasama dan inovasi dalam ekosistem maritim yang merangsang pembangunan ekonomi serta mewujudkan peluang kerja untuk generasi depan.

“Kemudahan terkini KLIP akan direka bentuk untuk menampung simpanan tangki dalam mengendalikan pukal cecair kargo, gas petroleum cecair (LPG) dan gas asli cecair (LNG) serta kawasan khusus untuk pembaikan dan baik pulih penyelenggaraan kapal (MRO),” katanya.

Tambah beliau, pelabuhan itu juga menggunakan teknologi canggih seperti tenaga hijau, sistem logistik pintar dan ketepatan masa untuk mengoptimumkan kecekapan operasi dan mengurangkan masa pemulihan. – MalaysiaGazette

Scroll to Top