kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Lightkeeper5 Sdn Bhd, syarikat milik penuh Bumiputera yang mengendalikan restoran KL Steamboat & Grill optimis mencapai sasaran jualan ditetapkan tahun ini, sekali gus meluaskan rangkaian ke lokasi strategik di sekitar Lembah Klang.
Pengarahnya, Mohd Samsul Mior Atan Ahmad berkata, pihaknya dalam perancangan membuka cawangan kedua di Kota Damansara pada suku akhir tahun ini bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
“Perancangan jangka panjang kami untuk berkembang ke luar Kuala Lumpur, namun buat masa ini kami mahu kukuhkan jenama di Lembah Klang dahulu.
“Matlamat kami sekurang-kurangnya membuka satu cawangan setiap tahun dengan lokasi strategik dan menu menepati selera pelanggan,” katanya.
Menurutnya, cawangan kedua yang dibuka di Kota Damansara itu dijangka lebih besar dengan kapasiti 800 hingga 1,000 pelanggan dalam satu-satu masa.
“Restoran ini turut menyediakan pelbagai kemudahan tambahan termasuk surau dan tempat letak kenderaan yang luas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, KL Steamboat & Grill, Mohd Zulkifli Mohd Talib berkata, sambutan pelanggan sejak cawangan di Ampang dibuka lima bulan lalu amat memberangsangkan dengan kehadiran sentiasa penuh setiap hari.
Katanya, sebelum ini syarikat bergiat dalam sektor pembinaan, namun menyedari potensi besar industri makanan dan minuman (F&B) yang lebih berkembang pesat.
“Dengan modal permulaan lebih RM500,000, kami membuka KL Steamboat & Grill yang menawarkan konsep mampu milik pada harga RM34.80 untuk dewasa, RM18.80 untuk kanak-kanak dan RM27.80 untuk warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU).
“Restoran ini mempunyai kapasiti besar sehingga 600 pelanggan dalam satu masa dan menawarkan lebih daripada sekadar hidangan steamboat.
“Kami ada lebih 100 pilihan menu makanan merangkumi pelbagai pilihan seperti nasi, mi, pasta, kuih-muih, pencuci mulut, laksa, pulut mangga, mi segera kerabu, aiskrim, roti bakar, cendol dan keunikan utama KL Steamboat & Grill terletak pada sup tom yam khas ciptaan sendiri serta sos sukiya yang mendapat pujian ramai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd