KL City, Selangor puji idea JDT bagi cabutan bertuah

KL City, Selangor puji idea JDT bagi cabutan bertuah

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) melihat kaedah Johor Darul Ta’zim (JDT) menyediakan cabutan bertuah berupa motosikal dan beberapa hadiah sampingan untuk menarik minat penyokong hadir ke stadium adalah langkah yang bijak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard berkata, idea berkenaan boleh diguna pakai pasukan-pasukan lain dalam menarik minat penyokong ke stadium.

“Saya melihat langkah JDT itu tepat dan ia berjaya menarik penyokong untuk datang. Tak mustahil pasukan-pasukan lain termasuk KL City juga boleh memikirkannya.

“Saya sifatkan ia idea yang baik dan sudah tentu akan dijadikan contoh buat kelab-kelab lain,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kehadiran peminat ke stadium amat membimbangkan buat kebanyakan pasukan yang bertanding di Liga M khususnya Liga Super.

Penurunan drastik kehadiran penyokong dapat dilihat pada aksi minggu ke-19 yang menyaksikan tidak sampai 10,000 peminat di kelima-lima venue perlawanan.

Begitupun jumlah penyokong dilihat meningkat di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu babitkan aksi antara JDT dan Terengganu FC apabila tuan rumah menyediakan hadiah cabutan bertuah.

Selain cabutan bertuah, pensyarah Kanan Fakulti Sukan & Eksesais Sains dari Universiti Malaya (UM), Dr Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin turut mencadangkan pasukan Liga M melihat kaedah beberapa sukan di Amerika Syarikat yang menampilkan persembahan pasukan sorak atau lebih dikenali panggilan ‘pompom girl’.

Nada sama diluahkan CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang menganggap aktiviti seperti hiburan itu juga cukup baik.

“Itu satu inisiatif yang baik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sampingan seperti cabutan bertuah dan sebagainya, itu adalah satu inisiatif yang baik.

“Secara amnya sebarang persembahan yang boleh menarik minat dan memberi nilai tambah segmen hiburan kepada penyokong yang hadir bagi saya sangat digalakkan.

“Mana-mana pasukan yang ada wang mereka boleh melihatnya. Dalam beberapa perlawanan, kita (Selangor FC) ada buat aktiviti bersama peminat ketika waktu rehat, kita juga ada bawa artis. Kita perlu melihat kepada kesesuaian dan budaya setempat,” kata Johan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top