KL City pahat sejarah mara ke final antara zon Piala AFC

KL City pahat sejarah mara ke final antara zon Piala AFC

PETALING JAYA : Kuala Lumpur City FC mencipta sejarah mara ke pentas akhir antara zon, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022 setelah menewaskan ATK Mohun Bagan 3-1 pada aksi separuh akhir di Kolkata, India sebentar tadi.

Dua gol pada masa kecederaan separuh masa kedua dijaringkan pemain gantian Fakhrul Aiman dan Romel Morales sudah cukup buat skuad bimbingan Bojan Hodak untuk memastikan ATK Mohun berputih mata dilaman sendiri.

Terdahulu The City Boys memperolehi gol pertama menerusi ketua pasukan Paulo Josue yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Vishal Kaith pada minit ke-60.

Gol tunggal tuan ATK Mohun Bagan pula dijaringkan pemain gantian, Mohammad Fardin Molla.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Salt Lake, Kolkata itu, skuad The City Boys menurunkan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan Paulo Josue selaku ketua pasukan, Hadin Azman dan Jordan Mintah untuk mengemudi jentera serangan.

Tiada sebarang gol terhasil pada babak pertama dengan KL City dilihat lebih banyak bertahan dan hanya sesekali melancarkan serangan balas ke kubu tuan rumah.
Memasuki babak kedua, situasi berbeza dipamerkan pelawat yang tampil dengan taktikal lebih berani untuk melakukan serangan.

Usaha anak didik Hodak akhirnya berbaloi selepas Josue menjaringan gol sulung perlawanan pada percubaan pertama ke arah kubu lawan hasil rembatan luar kotak penalti pada minit ke-60.

ATK Mohun Bagan yang juga merupakan naib juara musim 2020-21 menggandakan asakan dan berjaya meraih gol penyamaan menerusi pemain gantian, Mohamad Fardi Molla pada minit ke-90.

Begitupun kegembiraan penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Fakrul Aiman berjaya menanduk gol kedua selang seminit kemudian sebelum Morales meledak gol ketiga menoktahkan kemenangan KL City, 3-1 mengatasi ATK Mohun Bagan.

Kemenangan ini menyaksikan KL City akan membuat perhitungan dengan wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada aksi final antara zon Piala AFC yang akan berlangsung pada 5 Oktober depan. –UTUSAN ONLINE