PETALING JAYA: Jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Miroslav Kuljanac berharap dapat meneruskan rentak kemenangan apabila turun menentang Perak FC dalam aksi liga di Stadium Perak, hari ini.
KL City masih segar dengan kejayaan membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-0 pada minggu lalu bagaimanapun tidak mahu berasa terlalu yakin bagi menghadapi lawan yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Kita kena realistik. Saya tidak fikir kami dapat menewaskan Perak FC 5-0 seperti mana kami lakukan ketika menentang KDA FC. Semua tahu lawan pada ketika itu menghadapi kesukaran apabila mereka hadir dengan pemain muda.
“Bagaimanapun, saya mengakui berharap dapat meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan esok kerana ia dapat memberi motivasi kepada pemain dan itu amat penting,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pengendali dari Croatia itu memberitahu kapten, Paulo Josue tidak dibawa bersama pasukan selepas mengalami kecederaan di buku lali selain selsema dan tempatnya bakal digantikan Patrick Reichelt.
“Ada beberapa pemain turut menghadapi selsema dan saya perlu lihat bagaimana esok sama ada mereka boleh diturunkan atau tidak namun perkara ini tidak serius seperti yang disangkakan.
“Haqimi Azim Rosli mungkin diturunkan sebab dia juga dijangkiti selsema. Selain itu, J. Partiban tidak beraksi kerana dia masih mempunyai urusan peribadi yang perlu diselesaikan,” katanya.
KL City kini berada di tangga ke-10 liga dengan lapan mata di belakang Perak FC yang mengutip sembilan mata.-UTUSAN