zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Sebanyak 37,381 notis dikeluarkan terhadap individu dan pemilik premis di seluruh negara membabitkan pelbagai kesalahan di bawah penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, notis berkenaan dikeluarkan sejak 1 Oktober 2024 hingga 31 Mac lalu, hasil 10,212 operasi.
Katanya, dalam tempoh itu 187,308 premis diperiksa dengan 73,265 kes boleh dikompaun, manakala 116 kes lagi dibawa ke mahkamah.
“Ia membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Larangan Pengiklanan Produk Tembakau, Seksyen 9(1) Larangan Promosi atau Tajaan Produk Tembakau, Seksyen 10(1) Larangan Penjualan Produk Tembakau, Seksyen 11(1) Larangan Penjualan Produk Tembakau Tiruan dan Seksyen 12(1) Larangan Produk Tembakau Sebagai Pemberian Hadiah.
“Selain itu, sebanyak 206,657 penguatkuasaan pendidikan dilakukan kepada individu yang mempunyai kaitan dengan jualan produk merokok.
“Sepanjang tempoh sama, kita turut menyita sebanyak 11, 563 produk merokok membabitkan sitaan bernilai RM266,833.10,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Cakna Penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 2/2025 Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di sini, semalam.
Mengulas mengenai Ops Cakna, Dr Norhayati berkata, sebanyak 72,797 premis diperiksa hasil 548 operasi yang dijalankan di seluruh Terengganu dalam tempoh Januari hingga Mac lalu.
Katanya, menerusi itu, sebanyak 3,862 notis pelbagai kesalahan bernilai RM848,800 dikeluarkan dengan 430 produk merokok dan makanan disita.
“Untuk Ops Cakna selama dua hari bermula semalam (kelmarin), sebanyak 338 premis terdiri daripada 264 premis kawasan larangan merokok, 59 premis kedai makan dan 15 premis bagi pemeriksaan Aedes diperiksa di seluruh Terengganu.
“Menerusi itu, sebanyak 295 notis bernilai RM67,350 membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta 852, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP) dan Akta Makanan 1983 dikeluarkan.
“Selain itu, tiga premis makanan turut ditutup selama tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd