Kisah peladang moden

Kisah peladang moden

mohamadridzuan@hmetro.com.my

KECANGGIHAN teknologi sekarang menyaksikan masyarakat kini beralih kepada trend terbaharu iaitu menonton drama menerusi medium TikTok.

Faktor kesibukan dalam aktiviti seharian juga menjadikan ramai dalam kalangan kita selesa menontonnya di TikTok antaranya drama Andai Tiada Dia yang mencipta fenomena tersendiri.

Tidak menghairankan apabila syarikat produksi Million Pictures Sdn Bhd dan Institut Perladangan & Komoditi Malaysia (Impac) bekerjasama menghasilkan drama pendek berjudul Brader Komoditi yang ditayangkan di TikTok.

Penerbitnya, Faizatul Hasanah Hussain berkata, keputusan ini dibuat bagi menyahut kehendak semasa serta menarik minat anak remaja dalam bidang perladangan.

“Pendekatan promosi drama di TikTok adalah salah satu cara berkesan. Bukan TV tak lagi relevan, tapi mempelbagaikan platform dilihat sebagai satu fenomena terkini dalam menyampaikan maklumat secara terus.

“Brader Komoditi diarahkan oleh Mohd Azhar Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Apache membariskan pelakon seperti Alif Muhaimin, Nafiz Muaz, Aziz M Osman, Liza Abdullah, Bell Ngasri dan Qistina Qhaled.

“Penggambaran berlangsung selama seminggu di beberapa lokasi ladang sawit sekitar Palong 20 Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi memastikan kisah masyarakat ini diterima baik oleh pelayar TikTok, beberapa faktor antaranya pelakon remaja popular dan berpengalaman, skrip dan cara lakon layar sama seperti drama, dititikberatkan supaya Brader Komoditi berbeza daripada drama TikTok yang lain.

“Kami amat mengutamakan kualiti. Kami mengharapkan naskhah yang diambil dari kisah sekeliling, selain dibantu dari segi input oleh Impac perlu ditonton terutama bagi belia lepasan SPM kerana ada objektif utama mengenai TVET yang ingin disampaikan.

“Pada masa sama, pelbagai aspek diterapkan antaranya dendam, sejarah, hubungan kekeluargaan, cinta dan semangat keusahawanan. Drama Brader Komoditi kini ditayangkan di platform Instagram dan TikTok @my.impac,” katanya.

Brader Komoditi mengisahkan Ikmal, lelaki lepasan diploma mula mengikuti kursus yang ditawarkan di Impac dan akhirnya menjadi

‘harvesting specialist’ yang berjaya selepas mengharungi pelbagai cabaran.

Kehilangan bapa tersayang di saat Ikmal ingin menuju cita-cita selain dugaan menghadap abang sendiri yang langsung tidak menyokong hasrat menjadi peladang moden banyak meruntuhkan impian Ikmal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top