London: Pelari jarak jauh Uganda, Jacob Kiplimo, bersedia untuk menempuh satu lagi cabaran besar dalam kerjayanya apabila membuat penampilan sulung dalam acara maraton penuh di Maraton London hujung minggu ini.
Kiplimo, juara dunia merentas desa dua kali dan pemegang rekod dunia separuh maraton, bakal turun beraksi dalam saingan yang penuh bintang termasuk juara Olimpik dari Ethiopia, Tamirat Tola serta legenda Kenya, Eliud Kipchoge.
“Saya sangat bersyukur dapat berada di sini,” kata Kiplimo, 24, pada sidang media.
“Memang akan ada banyak cabaran kerana separuh maraton dan maraton penuh sangat berbeza, tetapi saya sudah bersedia dan harap saya dapat melakukan yang terbaik pada Ahad nanti. Fokus saya hanyalah untuk catat masa peribadi terbaik.”
Pengarah Maraton London, Hugh Brasher menyifatkan penampilan sulung Kiplimo sebagai antara yang paling mendebarkan dalam sejarah acara itu.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Adakah dia mampu jadi pelari pertama mencatat bawah dua jam dalam perlumbaan sebenar? Mungkin, tetapi semuanya akan terjawab Ahad ini.”
Juara bertahan, Alexander Mutiso Munyao dari Kenya turut mengintai peluang untuk mempertahankan kemenangannya, dan menganggap tahun ini sebagai edisi paling kompetitif.
“Selepas menang tahun lalu, saya nekad mahu terus datang ke sini dan beri yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Kipchoge β pemenang empat kali Maraton London kembali ke ibu kota Britain buat pertama kali sejak 2020, namun kali ini lebih untuk memberi inspirasi kepada orang ramai.
Β© New Straits Times Press (M) Bhd