Kinohimitsu, PMKKL tingkat kesihatan mata dalam kalangan pelajar

Kinohimitsu, PMKKL tingkat kesihatan mata dalam kalangan pelajar

PENERAJU suplemen bio-nutraseutikal dan kosmeseutikal, Kinohimitsu bekerjasama dengan Pertubuhan Mata Kasih Kuala Lumpur (PMKKL) bagi melaksanakan Program Saringan Mata (Mata Jelas, Belajar Cerdas!) untuk meningkatkan kesihatan mata pelajar di Lembah Klang.

Kinohimitsu dalam satu kenyataan berkata, melalui inisiatif percuma itu lebih ramai pelajar akan mendapat manfaat dan kesedaran mengenai penjagaan mata.

Menurutnya, program tersebut juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Saringan kesihatan mata dan diagnostik dilaksanakan oleh SpecTruck dengan kerjasama Sonobee Ultrasound dan pelajar optometri dari SEGI University & Colleges untuk menjalankan saringan awal mengenal pasti masalah penglihatan biasa.

“Bagi kes lebih kompleks, tenaga pengajar berpengalaman dari SEGI akan melakukan penilaian diagnostik lanjutan untuk mengesan sebarang keadaan atau penyakit mata yang tersembunyi bagi memastikan intervensi tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pelancaran Program Saringan Mata (Mata Jelas, Belajar Cerdas!) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir Presiden Rotary Club Rahman Putra, Alex Tan; Ketua Pegawai Eksekutif SpecTruck, Datuk Seri David Sew; Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor; Pengerusi PMKKL, Dr Carmen Soo; Lembaga Pengarah Rotary Club Rahman Putra, Datuk Jacky Chen dan Ketua Pegawai Operasi Kino Biotech, Jennifer Chin.

Mengulas lanjut, menurut Kinohimitsu program tersebut turut menggalakkan aktiviti kitar semula dan agihan semula kaca mata kepada golongan kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan penglihatan.

Dalam pada itu, menerusi inisiatif ini juga pelajar akan didedahkan dengan pembelajaran dan pendidikan industri optometri bersama SEGI University & Colleges, selain memberikan peluang pembelajaran secara praktikal kepada mahasiswa melalui program saringan mata.

Selain itu, Chartered Institute of Compliance & Accreditation (CICA) turut mengiktiraf usaha tersebut dengan memberikan sijil prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada semua pihak termasuk penyumbang dana serta pihak sekolah.

“Dengan gabungan saringan kesihatan, kelestarian dan pendidikan, inisiatif ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada kesihatan penglihatan tetapi juga menyumbang kepada masa depan industri optometri di Malaysia,” ujarnya.

Fasa pertama program itu dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Lokman, SMK Convent Sentul, SMK Kepong Baru, SMJK Chong Hwa, SMK La Salle dan Victoria Institution.

Program tersebut juga mendapat sokongan daripada L’OCCITANE Foundation, CIMB Foundation, Rotary Club of Rahman Putra, Rotary Club of KL Sentral dan Lions Club of Damansara Kuala Lumpur.

Scroll to Top