am@hmetro.com.my
Kudat: Cubaan licik sindiket menyeludup makanan eksotik yang membabitkan spesis haiwan terancam berjaya digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat dalam satu operasi khas di perairan daerah ini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu hasil risikan Unit Perisikan APMM yang mengesan kegiatan mencurigakan di kawasan perairan Selat Malawali kira-kira jam 2 pagi.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, Bot Peronda Kilat 48 yang sedang menjalankan operasi khas digerakkan ke lokasi sebelum mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap pada jarak 1.8 batu nautika barat laut Tanjung Layang-layang, Pitas.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada individu berada di atas bot terbabit, namun penggeledahan lanjut menemukan barangan yang mengejutkan.
“Antara yang ditemui adalah 20 kotak polisterin berisi Kima beku seberat kira-kira 500 kilogram (kg), lapan guni Kima kering seberat lebih 200 kg, serta lima kotak polisterin mengandungi tenggiling beku dengan anggaran berat 100 kg,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua hasil rampasan itu dipercayai untuk di seludup keluar ke negara jiran yang mempunyai permintaan tinggi terhadap makanan eksotik dan produk haiwan liar terlarang.
“Bot bersama muatan dianggarkan lebih RM100,000 itu ditahan dan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Perikanan 1985 kerana membabitkan cubaan penyeludupan haiwan spesis terancam serta pengendalian hasil laut tanpa kebenaran sah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd