mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kilang memproses sisa elektronik atau e-waste yang beroperasi secara haram di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, di sini, dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bagi menghentikan pencemaran.
Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azlan Ahmad berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Menurutnya, JAS sudah melakukan pemantauan berterusan dan membuat pemeriksaan ke atas kilang terbabit yang berpotensi menyebabkan pencemaran.
“Siasatan mendapati premis itu melakukan perlanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku, yang seterusnya boleh mengganggu kesihatan awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azlan berkata, JAS melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan perundangan ke atas premis terbabit.
“Pihak industri hendaklah memainkan peranan penting dalam memastikan operasi kilang atau premis mereka memenuhi semua keperluan perundangan alam sekitar dan tidak melakukan pencemaran alam sekitar.
“Sebarang aduan berkaitan pencemaran alam sekitar boleh disalurkan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my, serta melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan sebuah kilang di Telok Panglima Garang, di sini, yang memproses sisa elektronik atau e-waste dikesan menyimpan 50 tan guni mengandungi peluru dan kelongsong yang ingin dileburkan secara tidak sah.
Penemuan mengejutkan itu hasil serbuan melalui Ops Hazard yang dijalankan sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bermula jam 9 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd