mhafis@mediaprima.com.my
Subang Jaya: Perkhidmatan van Rapid KL On-Demand percuma yang disediakan buat mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights ditamatkan hari ini.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, perkhidmatan itu ditamatkan berikutan penutupan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Masjid Putra Heights.
Menurutnya, sejak mula beroperasi pada 3 April lalu, perkhidmatan memberi manfaat kepada lebih 1,100 orang yang terdiri daripada mangsa, sukarelawan serta agensi kerajaan dengan menyediakan kemudahan pengangkutan dari PPS ke kawasan kediaman sekitar Putra Heights, Kampung Puchong Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru.
“Ia bagi mendapatkan barangan keperluan mahupun dokumen penting
mereka serta membantu dalam kerja-kerja pembersihan rumah-rumah mangsa.
“Inisiatif di bawah program Prasarana Prihatin ini melibatkan penggunaan 10 van, dengan penglibatan seramai lebih kurang 50 petugas merangkumi kapten bas, pegawai pengawal trafik kanan, pasukan penguatkuasaan dan anggota polis bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, selain itu, Prasarana turut memperluaskan perkhidmatan itu bagi penghantaran anak-anak mangsa ke sekolah yang membabitkan lima van khas, beroperasi pada Isnin hingga Jumaat ke 19 sekolah di sekitar kawasan Putra Heights, USJ, Seafield dan Shah Alam.
“Inisiatif ini mendapat sambutan positif daripada ibu bapa dan penjaga, sekali gus memastikan pendidikan anak-anak mangsa tidak terjejas sepanjang tempoh penempatan di PPS dan seramai 103 pelajar telah mendapat manfaatnya.
“Secara keseluruhan, sambutan daripada mangsa amat menggalakkan dan mereka menzahirkan rasa syukur atas bantuan mobiliti yang disediakan.
“Pihak berkuasa tempatan turut memberikan maklum balas yang amat positif terhadap kecekapan serta komitmen Prasarana dalam membantu komuniti yang terkesan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd