Khalid dedah kandungan surat saman fitnah kepada Rafidah minggu depan

Khalid dedah kandungan surat saman fitnah kepada Rafidah minggu depan

KOTA BHARU: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad akan mendedahkan kepada umum kandungan surat saman fitnah terhadap selebriti, Rafidah Ibrahim berkaitan isu Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur melalui pihak media minggu depan.

Khalid berkata, langkah itu bakal diambil susulan Rafidah mendakwa belum menerima surat berkenaan beserta notis tuntutan permohonan maaf, penarikan balik tuduhan dan bayaran ganti rugi.

Menurutnya, surat serta notis tuntutan itu sebenarnya telah dihantar kepada Rafidah pada minggu lepas, ke alamat di Kampung Sungai Baru, iaitu flat milik selebriti berkenaan tetapi dia mungkin tidak menerimanya kerana sudah tidak tinggal di alamat tersebut.

“Minggu depan, insya-Allah saya akan berikan surat itu kepada pihak media supaya boleh disiarkan dan semua orang boleh tengok termasuk dirinya (Rafidah).

“Jadi dia (Rafidah) tidak boleh guna alasan (tidak terima saman fitnah dan notis tuntutan) sedangkan ia sudah tersebar di media seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Libat Urus dan Ramah Mesra di ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lundang, di sini hari ini.

Khalid memberitahu, selepas surat saman tersebut disiarkan kepada umum, Rafidah mempunyai masa 14 hari untuk menjawab serta memenuhi tiga tuntutan yang terkandung dalam notis tuntutan permohonan maaf.

“Saya tuntut dia (Rafidah) minta maaf, tarik balik tuduhan dan bayar ganti rugi. Amaun ganti rugi yang disebut dalam surat tuntutan itu adalah sebanyak RM300,000 dan kalau dia gagal menjawab, bila kita pergi mahkamah, mungkin kita boleh minta lebih.

“Kita beri tempoh 14 hari kepadanya dan kalau dia tidak menjawab, kita akan teruskan dengan proses mahkamah,” ujarnya.-UTUSAN

Scroll to Top