Khabar angin status CEO MFL cetus tanda tanya

Khabar angin status CEO MFL cetus tanda tanya
Khabar angin status CEO MFL cetus tanda tanya

Timbul spekulasi mengenai kemungkinan perubahan dalam struktur kepimpinan tertinggi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

DI tengah-tengah kemelut yang melanda saingan Liga Malaysia (Liga-M), timbul spekulasi mengenai kemungkinan perubahan dalam struktur kepimpinan tertinggi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ia susulan khabar angin bertiup kencang hari ini yang mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif badan pengelola Liga-M itu Giorgio Pompili Rossi yang dilantik pada September tahun lepas, tidak lagi menyandang jawatannya.

Malah, pejabat bekas delegasi LaLiga di Malaysia itu di Kelana Jaya, juga didakwa telah dikosongkan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kedudukannya dalam MFL.

MFL setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Sumber terdekat MFL, mengesahkan Rossi tidak menghadiri satu mesyuarat yang turut dihadiri Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan di Kelana Jaya hari ini.

“Beliau (Rossi) tiada dalam mesyuarat mengenai saingan liga hari ini membuatkan semua tertanya-tanya, presiden akan menjawab mengenai perkara ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehingga berita ini ditulis, Bernama masih menunggu maklum balas dan penjelasan daripada pengurusan MFL termasuk Ab Ghani.

Rossi merupakan individu dari luar negara pertama dilantik sebagai CEO MFL, menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontraknya pada 31 Ogos lepas.

Beliau mula bertapak di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada 2017 sehingga 2021, dan beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosi kelab-kelab Sepanyol dalam kalangan peminat bola sepak di negara ini.

Beliau kemudian melebarkan sayap kerjaya sebagai Delegasi LaLiga Thailand serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar, sebelum dilantik sebagai CEO MFL.

Bulan lepas, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail yang terkenal dengan pengaruhnya dalam arena bola sepak tempatan, menzahirkan pandangan mengenai situasi Liga-M yang dianggap tidak memuaskan, antaranya mengenai isu padang dan kelewatan pembayaran gaji pemain,

Pemangku Sultan Johor itu juga mencadangkan supaya prinsip Financial Fair Play diperkenalkan segera bagi memastikan kestabilan kewangan pasukan, selain menekankan perlunya badan pengadil yang bebas dan tidak berada di bawah pengaruh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). – Bernama

Scroll to Top